AM

UNIT PERGIGIAN TH SEDIA SANTUNI 31,600 JEMAAH HAJI

24/05/2024 09:20 AM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 24 Mei (Bernama) -- Biarpun kehadiran mereka tidak ramai berbanding unit perubatan lain  namun tiga petugas di Unit Pergigian di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah, tetap gigih menyantuni jemaah haji yang datang mendapatkan rawatan tidak kira siang ataupun malam. 

Menjadi satu-satunya unit perkhidmatan pergigian untuk jemaah haji Malaysia mendapatkan rawatan di Tanah Suci, Pegawai Pergigian Dr Umairah Razali diberikan tanggungjawab mengetuai unit itu dibantu oleh Pembantu Pembedahan Pergigian Meor Al-Hafiz Abd Halim dan Juruterapi Pergigian Nur Syuhana Samsudin. 

Dr Umairah berkata biarpun berhadapan dengan kekangan dari segi bilangan petugas dan peralatan, namun unit itu menawarkan hampir kesemua perkhidmatan rawatan pergigian yang ada di tanah air. 

"Kami bertugas setiap masa dengan waktu pejabat bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari, kemudian sambung semula dari 4.30 petang sampai 6.30 petang dan 8 hingga 10 malam. Untuk waktu malam pula kami perlu bersedia dengan panggilan kalau ada kes kecemasan seperti trauma yang memerlukan perkhidmatan kami. 

"Bagi saya perkhidmatan di sini lebih kurang sama dengan perkhidmatan di tanah air... di sini kita utamakan rawatan kecemasan dan berdasarkan janji temu kerana kita perlu menyediakan kenderaan untuk mengambil jemaah dari maktab penginapan sebelum mendapatkan rawatan di sini," katanya kepada petugas media ketika ditemui di sini. 

Beliau yang berkhidmat di Klinik Pergigian Sungai Besar, Selangor berkata sejak klinik itu dibuka seminggu lepas, sebanyak 40 jemaah telah datang mendapatkan rawatan dengan purata enam orang pesakit sehari datang mendapatkan rawatan. 

Menurutnya, kebanyakan jemaah ke klinik itu disebabkan masalah tampalan gigi yang tercabut kerana makan makanan yang keras seperti kacang dan buah selainbulser disebabkan kurang minum air dan khidmat cucian gigi. 

"Ada juga jemaah semasa datang ke Tanah Suci, gigi dah goyang dan disebabkan penat berjalan jauh, ia menambahkan lagi sakit pada gigi. Ada  juga yang demam ketika datang membuat rawatan dan  setelah pemeriksaan kesihatan mulut dilakukan kita dapati ada gigi rosak. Jadi kita akan bagi rawatan yang diperlukan," katanya. 

Sebagai pegawai pergigian, beliau juga harus bijak menggunakan sumber dan ubatan dibawa dari tanah air untuk merawat jemaah kerana di Arab Saudi agak sukar untuk mendapatkan ubatan yang sesuai dengan jemaah haji Malaysia selain harganya agak mahal. 

"Agak sukar nak bawa bahan pergigian dari tanah air dan ada terpaksa kita beli di Arab Saudi. Contohnya bahan tampalan... ubat bius untuk cabut gigi. Yang jadi masalah sebab kadang kala ia tidak sesuai dengan rakyat Malaysia walaupun jenama sama, malah kos juga tinggi," katanya. 

Pada masa sama, beliau juga menasihati jemaah haji supaya sentiasa menjaga kesihatan  serta kebersihan diri termasuk mulut sepanjang berada di Tanah Suci bagi membolehkan jemaah kekal fokus untuk beribadah terutama menjelang hari-hari kemuncak ibadah haji nanti. 

"Saya nasihatkan jemaah supaya mengamalkan minum air yang banyak kerana ada kes dirujuk kepada kita jemaah mengalami ulser kerana kurang minum air. Apabila terjadi seperti itu, jemaah lagi susah untuk makan dan tidak dapat fokus untuk beribadah. Jadi minumlah air banyak-banyak,” katanya. 

Sementara itu seorang daripada pesakit, Hamidah Ismail, 40-an dari Kedah berkata dia datang mendapatkan rawatan di klinik kerana tampalan giginya tercabut disebabkan makan buah. 

"Saya takut kalau dibiarkan ia akan bertambah sakit. Jadi saya datang ke sini untuk mendapatkan rawatan selepas doktor di maktab penginapan saya memaklumkan TH ada menyediakan perkhidmatan klinik gigi. Alhamdulillah khidmat yang diberikan sama standard dengan klinik gigi di Malaysia," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan