FOKUS BERNAMA

SIHAT XPRESS JADI 'TALIAN HAYAT' PENDUDUK LUAR BANDAR RANAU

24/05/2024 09:29 AM
Daripada Muhammad Basir Roslan

Indah dan unik dengan di kelilingi bukit-bukau yang menghijau serta berlatarbelakangkan panorama Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia, yang dilitupi awan tebal. 

Itulah Kampung Togop Darat 1 yang terletak sekitar 49 kilometer dari bandar Ranau, dengan majoriti penduduknya terdiri daripada suku kaum Dusun, antara etnik terbesar Sabah Negeri di Bawah Bayu ini. 

Bunyi deruan air Sungai Kopuakan yang juga menjadi salah satu sumber air dan hasil tangkapan ikan bagi penduduk di sini pastinya tidak akan dapat dilupakan bagi sesiapa yang singgah di perkampungan kecil ini.

Namun di sebalik suasana damai dan tenang kampung ini, ada dua isu yang masih menghantui hampir seribu penduduknya iaitu isu kemudahan capaian internet dan kemudahan kesihatan.

"Ya memang benar, dua isu inilah antara cabaran terbesar yang perlu kami hadapi setiap hari. Internet memang agak teruk di kawasan kampung, sehingga menyukarkan penduduk kampung untuk berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan serta melakukan urusan-urusan penting yang lain yang memerlukan capaian internet.

"Untuk isu kemudahan dan akses kesihatan pula, kita hanya boleh gunakan jalan darat. Kalau nak ke klinik kesihatan terdekat Klinik Kesihatan Malinsau yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh memakan masa hampir dua jam jika menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

"Begitu juga Klinik Kesihatan Timbua yang memerlukan hampir sejam perjalanan untuk ke sana," kongsi ketua kampung Linggasu Barayang, 61, seorang wanita suku kaum Dusun, ketika ditemu bual Bernama. 

Jalan darat yang ada pun, tambahnya, hanyalah jalan batu kerikil dan amat kurang jalan yang berturap tar, menyebabkan setiap perjalanan yang perlu ditempuh bagi menuju ke klinik berdekatan bukanlah suatu yang mudah. 

Apatah lagi, katanya, bukan semua penduduk mempunyai kenderaan sendiri untuk pergi ke sana sehinggakan ada yang terpaksa meminjam kenderaan jiran atau rakan mereka.

 

BULAN JATUH KE RIBA

Sukar dibayangkan, apabila kemudahan asas sebegini yang biasanya cukup mudah dinikmati oleh penduduk di kawasan bandar menjadi satu kesukaran buat penduduk luar bandar seperti di Kampung Togop Darat 1. Maka sudah tentunya bantuan serta perhatian sewajarnya oleh pihak berkepentingan amat diperlukan.

Menurut Linggasu, penduduk di kampung berkenaan amatlah juga dahagakan capaian perkhidmatan telekesihatan, memandangkan ramai dalam kalangan mereka menghidapi penyakit yang memerlukan perhatian dan nasihat doktor.

pic-2

"Di sini, ramai warga tua kita mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kolesterol, hipertensi, dan sakit buah pinggang. Saya sendiri mempunyai penyakit darah tinggi dan obesiti, namun bila memikirkan jarak klinik yang terlalu jauh maka amatlah sukar bagi kami untuk pergi ke sana. Ada kalanya kita terpaksa tanggung kesakitan sendiri menggunakan ubat-ubatan tradisional kerana tidak mampu untuk ke klinik terdekat," kongsi wanita itu lagi. 

Melihat kepada kesukaran yang dialami penduduk sejak sekian lama, MEASAT Global Berhad iaitu pembekal perkhidmatan jalur lebar luar bandar di Malaysia mengambil inisiatif berganding bahu dengan syarikat teknologi penjagaan kesihatan Mudah Healthtech Sdn Bhd bagi memperkenalkan perkhidmatan telekesihatan Sihat Xpress.

Inisiatif itu ditumpukan kepada masyarakat luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan Internet serta penjagaan kesihatan di seluruh Malaysia dengan memanfaatkan servis jalur lebar satelit MEASAT iaitu CONNECTme NOW.  Untuk perkhidmatan Internet, penduduk boleh membeli kad prabayar CONNECTMeNOW serendah RM10.

Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Pegawai Operasi MEASAT Yau Chyong Lim berkata, menerusi kiosk yang diwujudkan di sebuah kedai runcit terpilih di kampung Togop Darat 1, penduduk kampung boleh memanfaatkannya untuk memeriksa sendiri tanda-tanda penting seperti paras oksigen, tekanan darah dan suhu badan, serta berunding dengan doktor dalam talian untuk masalah perubatan bukan kecemasan.

"Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertujuan mewujudkan penjagaan kesihatan berasaskan komuniti, menangani ketidaksamaan penjagaan kesihatan yang sentiasa dialami penduduk luar bandar, serta membolehkan penawaran terhadap penjagaan kesihatan di desa sentiasa tersedia.

"Dengan adanya kiosk sebegini, ia boleh mengurangkan beban kos pengangkutan yang perlu ditanggung oleh penduduk yang ada kalanya mencecah puluhan mahupun ratusan ringgit," jelasnya ketika ditemui selepas majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) Perkhidmatan Telekesihatan Desa di antara MEASAT-Mudah Healthtech yang diadakan pada 16 Mei, di sini.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Flovia Ng turut hadir di majlis itu.

Seramai 17 orang wakil syarikat media dari seluruh negara didatangkan khas untuk membuat liputan berita pengenalan telekesihatan Sihat Xpress serta pelan masa hadapan untuk pelancaran rasminya.

Puluhan penduduk kampung terbabit turut hadir kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan majlis yang bersejarah itu.

Majlis itu turut diserikan oleh sekumpulan penari wanita muda yang menyambut ketibaan tetamu dengan tarian tradisional etnik Dusun dengan diiringi irama lagu-lagu rakyat dari paluan gong kecil.  

 

 

SEMAK SENDIRI KESIHATAN

Menjelas lanjut mengenai kiosk telekesihatan itu, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Mudah Healthtech Navinderan Mageswaran berkata, antara peranti yang disediakan termasuklah tablet untuk perundingan audiovisual bersama doktor atas talian, peranti tekanan darah, oksimeter atau SPO2 bagi pemeriksaan kadar denyutan nadi dan kepekatan oksigen dalam darah, serta peranti termometer untuk memeriksa suhu badan.

"Kesemua peranti ini penting bagi penduduk membuat saringan kesihatan yang kurang kritikal, selain membantu dari segi pengenalpastian dan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti hipertensi, serta pengesanan awal penyakit paru-paru termasuklah asma.

"Manakala peranti tablet pula dibekalkan dengan akses internet CONNECTme NOW bagi memudahkan pesakit terus berhubung dengan 150 doktor yang berada di bawah seliaan pihak Mudah Healthtech. Menerusi sesi konsultasi digital ini, maka ia akan memudahkan penduduk membuat keputusan sama ada perlu atau tidak ke klinik berdekatan bagi mendapatkan ubat ataupun rawatan sewajarnya daripada doktor," tambahnya lagi. 

Setakat tiga bulan lepas, pihaknya mendapati sebanyak 463 kali pemeriksaan dilakukan, dengan purata sekitar empat sesi pemeriksaan setiap hari. Manakala sesi telerundingan pula dilakukan sebanyak sembilan sesi setakat ini. 

Daripada data berkenaan, didapati 47 peratus daripada populasi penduduk dikesan mempunyai tanda awal hipertensi, prevalens tinggi peringkat pra-hipertensi dan hipertensi dalam kalangan penduduk kampung. Tanda ini boleh dikesan menerusi bacaan tekanan darah tinggi yang dilakukan. 

pic-3

"Bukan itu sahaja, kita dapati beberapa isu kesihatan lain yang memerlukan perhatian segera. Contohnya 14 peratus daripada pengguna didapati mengalami kadar denyutan nadi di luar julat normal, yang boleh mengakibatkan masalah jantung, tekanan yang melampau serta anomali psikologi.

"Apa yang kita risaukan ialah kemungkinan penduduk kampung menghidapi penyakit kardiovaskular adalah tinggi. Oleh itu data dari semakan kesihatan sebegini amatlah penting bagi membolehkan penilaian lanjut dilakukan bagi mendiagnosis punca-puncanya dan rawatan intervensi boleh dilakukan pihak jabatan kesihatan komuniti. Data-data ini juga akan dikumpulkan sebagai rekod rujukan," katanya, menambah waktu operasi kiosk ini adalah pada setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum, bermula 9 pagi hingga 5 petang. 

Meskipun kios berkenaan berkonsepkan layan sendiri dan terdapat video untuk mengajar penduduk menggunakan peranti yang disediakan serta berhubung dengan doktor dalam talian, terdapat staf sokongan untuk memberi bantuan sementara petugas MEASAT akan melakukan penyelenggaraan berkala di kiosk berkenaan.

Setakat ini, kiosk itu hanya akan memberi tumpuan kepada perundingan doktor sahaja. Penghantaran ubat adalah sebahagian daripada pelan masa depan projek termasuk servis kaunter dan ubat preskripsi, membabitkan kerjasama dengan pemegang taruh industri kesihatan.

 

BANYAK MANFAAT

Linggasu yang juga pernah menggunakan perkhidmatan kiosk Sihat Xpress ini berkata, tahap kesihatannya menjadi lebih baik setelah mendapat nasihat doktor bagi penyakit darah tinggi yang dialaminya sejak dulu.

"Sejak adanya kiosk ini, kerap juga saya buat semakan kesihatan sebab saya memang ada sejarah penyakit darah tinggi dan obesiti. Ketika sesi panggilan video dengan doktor, mereka sering nasihatkan saya supaya terus jaga pemakanan dan elakkan makanan berlemak dan manis, serta perlu sentiasa bersenam untuk mendapatkan tahap kesihatan yang terbaik," jelasnya.

pic-4

Seorang lagi penduduk kampung Sauni Sabin, 55, turut mengakui servis sebegini banyak membantu memudahkan urusan penduduk kampung dalam memantau tahap kesihatan individu dan pengurusan berkala bagi mengurangkan risiko komplikasi penyakit. 

"Saya juga kalau ada antara anak saya yang seramai tujuh orang tiba-tiba jatuh sakit seperti demam atau batuk, saya boleh terus memantau kesihatan mereka dengan adanya kiosk ini sebab kita takut jika ianya disebabkan penyakit berjangkit seperti COVID-19, maka kita boleh terus maklumkan kepada seluruh penduduk kampung untuk langkah berjaga-jaga," kongsinya, seorang petani.

 

MANFAATKAN SEJUTA PENDUDUK

Sementara itu, ketika ditanya pelan jangka panjang projek Sihat Xpress, Yau menjelaskan MEASAT dan Mudah Healthtech menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan digital untuk satu juta rakyat Malaysia khususnya mereka yang berada dalam komuniti luar bandar dan terpencil serta kurang mendapat perkhidmatan internet serta telekomunikasi.

Menurut beliau, sejuta orang itu merangkumi tiga peratus penduduk Malaysia yang masih menghadapi isu capaian internet dan akses kesihatan yang baik.

Kedua-dua syarikat turut komited untuk mendigitalkan klinik dengan keupayaan telekesihatan bagi membolehkan sekurang-kurangnya 1,000 orang doktor dapat turut serta bagi menyokong pewujudan 2,000 kiosk telekesihatan luar bandar Sihat Xpress yang bakal dilancarkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Inisiatif berkenaan juga, tambahnya, sejajar dengan objektif nasional dan kerajaan Sabah untuk mendigitalkan kemudahan penjagaan kesihatan menjelang tahun 2030, meningkatkan kesamarataan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, serta memanfaatkan telekesihatan untuk hasil penjagaan kesihatan yang lebih baik.

"Kita lama menyedari jurang perkhidmatan penjagaan kesihatan antara kawasan bandar dan luar bandar adalah disebabkan oleh kekangan pengagihan kemudahan penjagaan kesihatan yang tidak sekata.

"Oleh itu, kita berusaha untuk membolehkan akses sama rata terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dalam kalangan rakyat melalui dasar-dasar kerajaan termasuklah Rancangan Malaysia Ke-12. Kita juga akan meningkatkan lagi bilangan profesional penjagaan kesihatan di kawasan terpencil serta mempertingkatkan usaha mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan menerusi inisiatif kerjasama dua pihak ini," jelas beliau lagi.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan