AM

BEKAS KETUA PENGARANG KUMPULAN THE STAR MENINGGAL DUNIA

25/05/2024 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Bekas ketua pengarang kumpulan The Star Datuk Ng Poh Tip meninggal dunia di rumahnya di Subang Jaya, pada usia 81 tahun.

Ketua Pegawai Kandungan The Star Datin Paduka Esther Ng Sek Yee ketika dihubungi hari ini mengesahkan pemergian itu.

Mendiang yang kematian suami 10 tahun lepas, tidak memiliki anak.

Mendiang memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 1971 dan mencipta sejarah sebagai ketua pengarang kumpulan wanita pertama negara apabila dilantik ke jawatan berkenaan di The Star pada 1993, dan berkhidmat hingga 2003.

Ng berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Sejarah daripada Universiti Malaya pada 1967, dan Sarjana Sastera dalam Pengajian Politik daripada University of Guelph, Kanada, pada 1971.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarang Kumpulan The Star Michael Aeria seperti yang dilaporkan dalam akhbar berkenaan memaklumkan mendiang sudah lama tidak sihat dan diserang strok dua kali sebelum ini.

Beliau berkata Ng turut dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lebih seminggu.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang juga Penasihat Star Media Group Bhd Datuk Seri Wong Chun Wai pula merakamkan penghargaan kepada Ng kerana menerima beliau menyertai semula The Star selepas menamatkan pengajian di universiti pada 1984.

“Saya meninggalkan The Star pada 1980 dan menamatkan pengajian pada 1984 dan Ng meminta saya kembali ke The Star sehari selepas saya menduduki peperiksaan akhir,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan