AM

LABUAN TERIMA RM162 JUTA UNTUK INFRASTRUKTUR PENDIDIKAN

07/06/2024 06:36 PM

LABUAN, 7 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan peruntukan keseluruhan RM162 juta untuk tujuh projek pembangunan infrastruktur di pulau bebas cukai ini bagi tahun 2024.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tiga daripada projek tersebut, bernilai RM114 juta, kini dalam peringkat awal dan proses perolehan bagi projek-projek ini dijangka selesai sebelum akhir tahun ini.

“Tiga projek tambahan dengan nilai gabungan RM24 juta dijadual untuk pelaksanaan tahun ini...ia termasuk pembinaan blok baharu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, pembinaan penggantian dan bangunan tambahan di SMK Labuan dan pembinaan bangunan tambahan untuk prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Patau-Patau.

“Selain itu, projek membabitkan pembinaan blok bangunan dan kerja-kerja menaik taraf Kolej Matrikulasi Labuan yang juga bernilai RM24 juta telah berjaya disiapkan pada Mac 2024,” katanya pada majlis penyerahan projek Kolej Vokasional Labuan (LVC) hari ini.

Beliau menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan mengutamakan projek pembangunan berdasarkan kesegeraan dengan tujuan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk pelajar di Labuan.

“Kami berharap inisiatif-inisiatif ini akan memberi banyak manfaat kepada persekitaran pendidikan di sini,” katanya.

Nanta Linggi turut memberi jaminan bahawa kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya Labuan komited untuk membimbing KPM dalam melaksanakan program pembangunan yang meningkatkan ekosistem pendidikan negara dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat.

“Menteri Kerja Raya mengakui cabaran yang dihadapi oleh pihak kontraktor dalam mendapatkan bahan binaan tempatan dan selalunya memerlukan sumber dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Terdahulu beliau berkata projek LVC yang bermula 15 Disember 2019 telah siap pada 20 Mac 2024.

“Walaupun menghadapi kesukaran mendapatkan bahan binaan dan sekatan pergerakan akibat COVID-19, kontraktor berjaya menyiapkan projek itu,” tambahnya.

Nanta berkata kemudahan baharu di LVC termasuk blok tambahan untuk bengkel seni kulinari, bengkel teknologi elektrik untuk voltan rendah dan tinggi, bengkel kimpalan, bengkel industri mesin dan bengkel automotif.

“Projek ini merupakan satu peristiwa penting bagi masyarakat setempat, mencerminkan usaha kerajaan dalam memperkasakan pendidikan vokasional serta meningkatkan bilangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan