AM

MOHAMED KHALED TIBA DI TURKIYE, MULAKAN LAWATAN KERJA LIMA HARI

09/06/2024 06:33 PM

Daripada Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

ANKARA, 9 Jun (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba sini hari ini untuk lawatan kerja rasmi selama lima hari di Turkiye.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ankara Esenboga kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) bersama delegasi Kementerian Pertahanan dan disambut Kuasa Usaha Malaysia di Ankara Clara Soon May Lynn serta Pegawai Pengiring Turkiye Laksamana Pertama Nilufen Cotuk.

Ini merupakan lawatan kerja rasmi pertama Mohamed Khaled ke Turkiye sejak dilantik Menteri Pertahanan, yang bertujuan memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara selain menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Turkiye yang akan diadakan buat julung kalinya.

HLC melibatkan delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia dan Ministry of National Defense Turkiye (MoND). 

Dalam rangka lawatan kerja itu, Mohamed Khaled turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler. 

Satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkenaan perolehan produk-produk pertahanan serta perjanjian-perjanjian kolaborasi dan kerjasama melibatkan pemain-pemain industri pertahanan Malaysia dan Turkiye akan turut dimeterai. 

Mohamed Khaled juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Secretariat of Defence Industries (SSB), sebuah institusi yang ditubuhkan Kerajaan Turkiye untuk menguruskan industri pertahanan Turkiye dan pembekalan teknologi ketenteraan. 

Selain itu beliau juga akan melawat beberapa syarikat pertahanan Turkiye seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAS), Aselsan dan Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE) serta mengadakan pertemuan dengan syarikat DESAN Shipyard.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan