EKONOMI

MRL, PERODUA METERAI MOU UNTUK PERKHIDMATAN MENGANGKUT KERETA, ALAT GANTI

11/06/2024 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), untuk memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mengangkut kereta dan alat ganti Perodua bermula 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata selepas ECRL beroperasi pada Januari 2027, MRL telah menetapkan objektif sasarannya untuk merangka dan menyediakan penyelesaian pengangkutan yang cekap dan boleh dipercayai yang disesuaikan dengan keperluan Perodua, berpotensi mengurangkan kos logistik melalui sistem pengangkutan yang lebih cekap.

MRL ialah pemilik projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km), yang akan merentasi negeri-negeri di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkannya dengan Lembah Klang di pantai barat.

“ECRL akan menjadi perintis pengangkutan kenderaan Perodua melalui rel ke negeri-negeri di pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang, sejajar dengan komitmen Perodua untuk memodenkan logistiknya melalui pengangkutan rel yang lebih cekap dan hijau,” kata beliau dalam ucapannya di majlis menandatangani MoU dan majlis pertukaran dokumen di antara Perodua dan MRL.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu akan memanfaatkan ECRL untuk mengangkut kereta dari kilangnya di Serendah, Selangor ke pantai timur, Sabah dan Sarawak.

“Kita akan bermula dengan mengangkut kereta Perodua dan kemudian beralih kepada alat ganti, yang kebanyakannya alat ganti dari Jepun, dan dengan menggunakan Pelabuhan Kuantan, ia sebenarnya lebih dekat dari Pelabuhan Klang,” tambahnya.

Jajaran rel ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka siap menjelang Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027.

Jajaran rangkaian rel antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijadualkan siap pada Disember 2027, dengan operasi penuh akan bermula dari Januari 2028.

Sebelum ini, kos pembinaan projek ECRL dari Kota Baru ke Pelabuhan Klang sepanjang 665 km dengan 20 stesen di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kekal pada RM50.27 bilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan