AM

TUBE WUJUD LEBIH 13,000 PELUANG PEKERJAAN, RAIH JUALAN RM154.38 JUTA - EWON

11/06/2024 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) berjaya mewujudkan sebanyak 13,866 peluang pekerjaan dan menyumbang nilai jualan terkumpul hasil daripada perniagaan yang dijalankan berjumlah RM154.38 juta sepanjang penganjurannya sejak 2014 sehingga 2023.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata TUBE merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi agensinya SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang bermatlamat membantu belia bumiputera yang ingin memulakan perniagaan supaya sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif agar dapat maju serta berdaya saing.

“Dengan bantuan geran permulaan sebanyak RM15,000 yang disalurkan oleh SME Corp, berdasarkan kepada rancangan perniagaan yang dibentangkan semasa latihan TUBE-X akan membantu anda menggerakkan perniagaan yang diusahakan dan memperkukuh perniagaan yang telah bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Temu Ramah TUBE yang kini dijenamakan semula sebagai TUBE-X bersempena dengan tahun ke-10 penganjurannya di sini hari ini.

Ewon berkata TUBE adalah program penting yang membantu perkembangan dan pembangunan usahawan dalam kalangan belia selain penjana peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Menurutnya seramai 805 usahawan belia bumiputera berjaya dilatih menerusi program TUBE-X pada tahun ini melibatkan peruntukan berjumlah RM12 juta.

TUBE adalah program berbentuk latihan asas keusahawanan untuk memupuk semangat keusahawanan dan membina ketahanan diri dalam kalangan usahawan belia bumiputera berusia 18 hingga 30 tahun bagi mengendalikan perniagaan mereka.

Program ini juga bertujuan melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan sekali gus menangani masalah kebolehpasaran dalam kalangan belia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan