POLITIK

PRK SG BAKAP: KERJASAMA PARTI KOMPONEN KERAJAAN PERPADUAN LEBIH BAIK, ERAT - CHANG

25/06/2024 12:21 AM

NIBONG TEBAL, 24 Jun (Bernama) -- Kerjasama parti-parti komponen bawah khemah Kerajaan Perpaduan sangat baik dan lebih erat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari ketiga hari ini berbanding sebelum ini.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata kerjasama erat itu tercetus daripada pengalaman tujuh PRK sebelum ini dan berikutan itu tidak wujud sebarang masalah antara parti di bawah Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata ini juga merupakan antara kekuatan kempen Kerajaan Perpaduan dalam bergerak secara bersama sebagai jentera Perpaduan dalam misi memenangkan calon PH, Dr Joohari Ariffin.

“Saya nampak BN pun bertungkus-lumus, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pun bertungkus-lumus. Sekarang kita mempunyai kerjasama yang sangat erat.

“Jadi, kita strategise bersama dan mempunyai bilik gerakan bersama untuk PRK DUN Sungai Bakap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perpaduan PRK DUN Sungai Bakap di Padang Taman Puteri Gunong, Simpang Ampat di sini malam ini.

Chang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata rekod prestasi kerajaan negeri Pulau Pinang dan calon PH merupakan anak jati Sungai Bakap juga antara kekuatan bagi kempen Kerajaan Perpaduan dalam misi merampas kembali kerusi yang juga kubu kuat PKR sejak 2008 itu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR  K.Saraswathy yang turut hadir pada ceramah itu berkata tahap penerimaan rakyat terhadap calon-calon yang diketengahkan Kerajaan Perpaduan sangat baik termasuk masyarakat India.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara yakin PKR dapat menebus kekalahan pada PRK kali ini setelah gagal mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail. 

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan