POLITIK

PRK SG BAKAP: JENTERA PERPADUAN JANGAN LEKA - AHMAD MASLAN

25/06/2024 04:54 PM

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan perlu dilipat gandakan bagi memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan itu 6 Julai ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata meskipun Pakatan Harapan mempunyai kelebihan di kawasan Parlimen Nibong Tebal namun ia  bukan jaminan kepada gabungan itu untuk mudah menawan semula kerusi DUN Sungai Bakap yang dimenangi Perikatan Nasional (PN). 

“Kita jangan leka… kita nak tawan maka gerak kerja perlu dilipat gandakan berbanding nak pertahankan. Oleh itu, malam tadi kami bawa bahagian angkat iaitu seluruh bahagian (UMNO) dari Pulau Pinang untuk bantu dan negeri angkat dari Perlis, Kedah dan Perak untuk bantu pastikan kemenangan calon PH Dr Joohari Ariffin,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau Projek Pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters Pegawai jabatan berkenaan di Jawi, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu juga meminta pengundi supaya membuat pilihan tepat ketika mengundi calon wakil rakyat mereka pada 6 Julai ini kerana hanya calon daripada kerajaan memerintah sahaja mampu membawa permasalahan mereka kepada pihak bertanggungjawab.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara antara calon PH, Johari, 60, dan calon PN Abidin Ismail, 56, diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan