DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM AKHIRI PENURUNAN TIGA HARI BERTURUT-TURUT DENGAN DITUTUP TINGGI

26/06/2024 09:37 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri penurunan tiga hari berturut-turut untuk ditutup tinggi pada Rabu, disokong prospek pengeluaran yang suram dalam beberapa minggu akan datang, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng memberitahu Bernama pihaknya mendapati paras sokongan pada RM3,830 satu tan manakala rintangan pada RM3,980 satu tan.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Sathia Varqa berkata kontrak niaga hadapan MSM didagangkan lebih tinggi pada sesi separuh kedua dengan kontrak September yang menjadi penanda aras meningkat RM35 kepada paras tertinggi RM3,894 satu tan, susulan data pengeluaran yang dijangkakan lebih rendah.

“Persatuan Pengilang-pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) melaporkan pengeluaran bagi tempoh 1 hingga 25 Jun turun sebanyak 5.62 peratus berbanding tempoh yang sama pada Mei,” katanya.

Beliau berkata prestasi MSM yang lebih kukuh turut disokong oleh peningkatan semula niaga hadapan minyak makan yang berkait di Bursa Komoditi Dalian (DCE).

Menurut laporan, niaga hadapan minyak kacang soya ditutup lebih tinggi pada Rabu dalam dagangan siang di DCE.

“Kontrak minyak kacang soya paling aktif adalah bagi penghantaran September 2026 meningkat empat yuan untuk ditutup pada 4,643 yuan satu tan, dengan jumlah dagangan di bursa sebanyak 89,716 lot, dan perolehan kira-kira 4.14 bilion yuan,” katanya.

Pada penutupan dagangan tempatan hari ini, Julai 2024 menambah RM29 kepada RM3,926 satu tan, Ogos 2024 meningkat RM20 kepada RM3,894 satu tan serta September 2024 naik RM20 kepada RM3,879 satu tan.

Oktober 2024 menokok RM19 kepada RM3,871 satu tan, November 2024 melonjak RM20 kepada RM3,876 se tan manakala Disember 2024 menambah RM19 kepada RM3,893 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 58,236 lot daripada 65,240 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka turun kepada 206,042 kontrak daripada 211,517 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan meningkat RM30 kepada RM3,980 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan