POLITIK

RAKYAT BOLEH NILAI RETORIK PEMBANGKANG - ZAMBRY

29/06/2024 03:01 PM

DUNGUN, 29 Jun (Bernama) -- Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Datuk Seri Zambry Abd Kadir yakin rakyat semakin bijak menilai isu dibangkitkan pembangkang yang bersifat retorik sekadar untuk meraih sokongan ketika berkempen.

Beliau berkata perkara sama juga dilakukan pembangkang ketika PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Selangor dan PRK Parlimen Pulai, Johor sebelum ini.

“Tetapi rakyat dapat membezakan antara hanya ucapan kempen dan retorik...maka tentunya rakyat dapat fikir bahawa yang paling mustahak adalah siapa yang dapat beri khidmat terbaik kepada mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun di sini hari ini. 

Mengenai naratif buruk terhadap Kerajaan Perpaduan yang dimainkan pembangkang di PRK Sungai Bakap, Zambry berkata kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN sepanjang kempen yang kini memasuki minggu kedua juga sangat baik dan memberi indikasi positif untuk dinilai rakyat.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan