AM

PROGRAM OSC SEJAHTERA SOSIAL MEDIUM PENTING BANTU PERAK 'BEBAS' MISKIN TEGAR - EXCO

02/07/2024 01:08 PM

IPOH, 2 Julai (Bernama) -- Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Perak yang diilhamkan melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 menjadi antara medium penting dalam menoktahkan kemiskinan tegar di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata perkara ini terbukti melalui statistik data e-Kasih yang merekodkan penurunan lebih 15 peratus bilangan ketua isi rumah (KIR) yang berada pada garis kemiskinan dalam tempoh setahun.

“Bermula dari Februari 2022 hingga Februari tahun lepas 9,402 KIR direkodkan berada pada garis kemiskinan tegar. Jumlahnya menurun kepada 8,128 KIR dalam tempoh Februari 2023 hingga Februari lepas.

“Penurunan daripada sudut bilangan ini membuktikan bahawa OSC ini turut memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan negeri membasmi kemiskinan tegar selain daripada program pemutihan yang dilakukan saban tahun,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Salbiah berkata intipati utama dalam program yang telah dilancarkan pada 11 Nov tahun lepas itu adalah melibatkan bantuan kewangan, kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), padanan pekerjaan, khidmat nasihat dan sebagainya yang bertujuan mengupayakan kemahiran KIR dan ahli isi rumah (AIR) 

Tambah beliau semua jabatan dan agensi berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri turut dilibatkan bersama sebagai platform pemudah cara bagi memastikan kelompok sasaran itu dibantu sepenuhnya.

“Setakat ini OSC ini telah dilaksanakan tiga kali iaitu di daerah Manjung (11 Nov 2023) melibatkan 1,500 peserta dan keduanya di Taiping (24 Feb) dengan pembabitan 1,700 peserta dan terkini pada 2 Jun lepas di Gerik dihadiri lebih 2,000 peserta.

“Mereka ini dikumpulkan mengikut setiap daerah dan kita berikan latihan, bantuan bulanan serta pelbagai lagi insentif oleh agensi berkaitan. Dengan dokongan daripada para peserta, saya fikir program ini mampu pergi lebih jauh dan ia selaras dengan agenda Membasmi Miskin Tegar 2025 di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Mengulas respons daripada para peserta mengenai OSC, Salbiah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor berkata sambutan amat memberangsangkan dan program itu memberi kesedaran kepada peserta supaya komited untuk mengubah kehidupan.

“Maknanya bagi saya, apabila disediakan platform ini dan kumpulan sasar kita hadir untuk melihat peluang yang disediakan, saya kira itu adalah salah satu cara yang positif untuk mengubah diri. Ia juga secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan komited membantu mereka,” katanya.

Sementara itu Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW) Jamilah Zakaria berkata pihaknya akan melancarkan program Gadis Hebat tidak lama lagi, yang bertujuan memberi kefahaman berkaitan isu wanita, serta mengoptimumkan keupayaan belia wanita khususnya para pelajar dalam kalangan keluarga B40 dan berisiko di Perak, untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

Beliau berkata buat masa ini program akan dianjurkan oleh SPW secara berfasa dan merangkumi aktiviti pembinaan jati diri, bengkel dan program lain yang bersesuaian dengan kelompok sasaran.

“Tahun lepas kita anjurkan program Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita (PROKIS) Negeri Perak yang bertujuan bukan hanya menyediakan kit asas sanitasi wanita, malah memberi kefahaman terhadap pengurusan haid dan kesihatan wanita.

“Untuk tahun ini kita buat kelainan sedikit, kita wujudkan program Gadis Hebat. Secara objektifnya, kita akan kenal pasti dan bawa mereka untuk sertai bengkel jangka pendek yang kita anjurkan bagi memberi pendedahan serta galakan untuk mereka berjaya,” katanya.

Beliau berkata lebih 3,000 peserta akan menyertai program yang yang turut dibantu oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan