AM

JENDELA: PAHANG SASAR CAPAI LIPUTAN 4G DI SEMUA KAWASAN HUJUNG TAHUN INI

04/07/2024 08:13 AM

KUANTAN, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pahang menetapkan hujung tahun ini untuk memastikan liputan rangkaian jalur lebar generasi keempat (4G) dapat dicapai di semua kawasan termasuk luar bandar menerusi projek di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal berkata projek JENDELA 4G 1.0 yang bertujuan meningkatkan akses capaian Internet lebih baik sepatutnya siap pada Jun lepas, namun berhadapan dengan kekangan tertentu. 

“Ia terbahagi dua fasa iaitu pembinaan menara dan melebarkan jaringan komunikasi oleh pihak telco untuk kegunaan serta manfaat rakyat. Saya telah menyatakan perkara ini kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) yang mengawal selia projek JENDELA.

“Sepatutnya ia siap pertengahan tahun ini, tetapi lebih masa diperlukan disebabkan kekangan tertentu misalnya perolehan tanah, kerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk pejabat hutan, JKR (Jabatan Kerja Raya) dan sebagainya, selain kita juga perlukan kelulusan pihak berkuasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pelaksanaan dan Pematuhan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) peringkat negeri Pahang di sini baru-baru ini.

Fadzli yakin tempoh yang berbaki enam bulan ini mencukupi untuk projek berkenaan dapat disiapkan sepenuhnya dan boleh digunakan pada penghujung tahun ini.

Hingga Mac lepas, capaian Liputan Mudah Alih 4G bagi kawasan berpenduduk di Pahang adalah 94.42 peratus berbanding sebelum pelaksanaan JENDELA pada kadar 89.10 peratus.

“Fokus kita selepas ini adalah JENDELA 2.0 dan akan tengok kawasan mana lagi yang perlu dirangkaikan dengan menara komunikasi,” katanya. 

Dalam pada itu, Fadzli berkata seminar anjuran MCMC Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang itu penting sebagai platform untuk pihak berkepentingan berdialog, berkongsi pandangan dan mencari penyelesaian terbaik demi pembangunan infrastruktur komunikasi di negeri itu.

Beliau berkata seminar yang memberi penekanan kepada pematuhan GPP-I bertujuan membantu pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju dan pihak berkepentingan dalam perancangan penyediaan infrastruktur komunikasi.

“GPP-I yang kita bincangkan ini merupakan satu langkah strategik demi meletakkan Pahang bukan hanya berupaya menyediakan infrastruktur berkualiti tinggi serta mematuhi piawaian ditetapkan demi kesejahteraan semua pihak, malah turut menjadi platform kritikal untuk pembangunan ekonomi negeri. 

“Kerajaan Pahang sangat menitikberatkan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi yang holistik, sistematik dan menyeluruh agar keperluan pada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat negeri ini termasuk di kawasan penempatan luar bandar, kampung tradisional, tanah rancangan Felda dan kawasan pedalaman,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan