AM

PROJEK AIR: 1,500 JUTA LITER SEHARI LEBIH DARIPADA MENCUKUPI - CHOW

04/07/2024 09:47 PM

NIBONG TEBAL, 4 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek air di Sungai Perak yang dijangka mampu membekalkan unjuran 1,500 juta liter air sehari di utara Perak dan Pulau Pinang. 

Beliau berkata unjuran tersebut adalah lebih daripada mencukupi untuk keperluan di kedua-dua negeri itu.

“Pihak kerajaan negeri faham bahawa sebahagian besar bekalan air itu adalah untuk keperluan negeri Perak bagi menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

“Pada peringkat awal, Pulau Pinang berharap untuk mendapat lebih kurang 700 juta liter air sehari, namun, kita belum membuat rundingan untuk perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ziarah MADANI masyarakat India di Bandar Tasek Mutiara di sini hari ini.

Chow berkata peringkat seterusnya adalah untuk syarikat air dari kedua-dua negeri itu mengadakan rundingan bagi menetapkan harga, jumlah bekalan air yang boleh disalurkan serta syarat-syarat lain dalam perjanjian.

Beliau berkata pada mulanya kerajaan negeri mahu membeli air mentah daripada kerajaan negeri Perak, namun apa yang ingin diusahakan sekarang ini ialah pembelian air terawat.

Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat dua hari lepas berkata projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya dilaksanakan bagi menyokong projek KIGIP, dijangka mampu membekalkan unjuran keperluan 1,500 juta liter air sehari di utara Perak dan Pulau Pinang.

Anwar berkata projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dengan peruntukan RM4 bilion dijangka dimulakan tahun ini. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan