POLITIK

PRK NENGGIRI : PEMUDA UMNO TARUH HARAPAN ORANG MUDA BERTANDING

05/07/2024 12:14 AM

MACHANG, 4 Julai (Bernama) -- Pemuda UMNO menaruh harapan supaya parti memberi peluang kepada calon muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata calon dalam kalangan orang muda dilihat lebih mudah untuk mendekati pengundi dalam menyampaikan maklumat, mempunyai tenaga dan idea untuk membangunkan kawasan tersebut.

"Mengenai nama calon Pemuda UMNO, kita akan bawa perkara ini kepada Biro Politik untuk diadakan perbincangan dengan UMNO Kelantan sebelum diajukan kepada pucuk tertinggi pimpinan parti.

"Sehubungan itu, kita mohon kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk mencalonkan wakil Pemuda bertanding PRK Nenggiri kali ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Machang di Pusat Transformasi Ilmu dekat  Bukit Tiu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata sekiranya calon yang dipilih dalam kalangan Pemuda UMNO, individu itu mestilah melepasi standard yang ditetapkan iaitu individu yang menetap di kawasan berkenaan dan paling penting boleh menjadi 'Yang Berkhidmat' bukannya 'Yang Berhormat'.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan