AM

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON TIMUR BERMULA HARI INI, PELBAGAI ACARA MENANTI PENGUNJUNG

05/07/2024 08:21 AM

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur membuka tirainya hari ini di Dataran Sayangi Kuantan di sini dengan pelbagai acara serta program menarik ditawarkan kepada pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Menjanjikan ‘kepuasan maksimum’, sepertimana siri sebelum ini tumpuan sudah pasti ke kaunter pembayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan hingga 50 peratus diskaun.

Bukan itu sahaja, banyak lagi manfaat lain disediakan kepada pengunjung termasuk 3,000 topi keledar secara percuma, Jualan MADANI dengan diskaun hingga 30 peratus, pameran aset agensi keselamatan, karnival kerjaya, pemeriksaan kesihatan termasuk rawatan pergigian dan pemeriksaan kanser.

Menyasarkan lebih 300,000 pengunjung, program kali menampilkan 162 usahawan Industri Kecil dan Sederhana  (IKS) termasuk melibatkan produk kraf Orang Asli, pakej pelancongan menarik, cabutan bertuah serta konsert artis popular tanah air.

Untuk hari ini, tumpuan pastinya kepada program ‘Moh Rodong Naik Tren’ oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan, diikuti Pertandingan Lego Agola, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dan Pertandingan Kompang Formasi oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di pentas utama. 

Sementara di pentas reruai pula diadakan program ‘Pocket Talk’ Wisma Putra dengan tajuk ‘Ada Apa dengan ASEAN’; diikuti kuiz pelancongan dan hadiah pakej pelancongan domestik oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kahoot Trivia ‘Jalan Kita, Tanggungjawab Kita’ oleh Kementerian Kerja Raya serta Tarian Perpaduan, Teka Rasa Perpaduan dan Kuiz Perpaduan oleh Kementerian Perpaduan. 

Pada sebelah malam pula, Program MADANI Rakyat diserikan dengan Forum Perdana dengan tajuk ‘Hijrah membina Masyarakat MADANI’ yang menampilkan penceramah Timbalan Mufti Pahang Datuk Badli Shah Alaudin, Prof Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Ustaz Harryanto Rizal di pentas utama. 

Bagi memastikan kelancaran trafik, kerajaan negeri turut menyediakan bas ulang-alik percuma setiap 15 minit di Stadium Darul Makmur, Kuantan City Mall, East Coast Mall, Masjid Sultan Ahmad I, Menara 188, Esplanade Kuantan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Kuantan, Kuantan Parade dan Jalan Bukit Ubi. 

Program MADANI Rakyat Zon Timur merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), program kali ini turut mendapat kerjasama strategik KKDW dan kerajaan Pahang.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan