AM

PRK SG BAKAP: PENGANTIN SEMPAT ‘LARI’ MENGUNDI SEBELUM BERSANDING

06/07/2024 04:00 PM

NIBONG TEBAL, 6 Julai (Bernama) -- Meskipun sibuk dengan majlis persandingan yang berlangsung pada tengah hari, seorang pengantin tetap menunaikan kewajipan untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Muhammad Shafiq Mohd Rozei, 29, yang menjalankan perniagaan pengangkutan berkata dia sanggup bergegas datang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi di Sungai Jawi di sini, hanya 30 minit sebelum majlis persandingan bermula pada 1 tengah hari. 

“Kalau ikutkan jadual, hari ini memang padat dan mereka (keluarga) pun sebenarnya sudah standby di sana (tempat persandingan) tetapi disebabkan tak nak lepaskan peluang mengundi, sempatlah juga saya curi masa untuk datang ke sini sebelum bersanding,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di sekolah berkenaan.

Muhammad Shafiq yang ditemani pasangannya Munirah Yahya ketika proses pengundian itu berkata ini  kali ketiga dia mengundi namun tetap tidak dapat menyembunyikan keterujaannya berkongsi tarikh hari persandingan mereka dengan pilihan raya.

Malah beliau berkata akan mengingati tarikh hari ini sampai bila-bila kerana hari keramat bagi kedua-dua mereka.

“Kami sudah rancang (majlis) ini sejak awal tahun tetapi hanya sempat mengadakan akad nikah bulan lepas dan majlis sanding belum lagi. Cuma tak sangka ia kebetulan sama dengan PRK,” katanya yang menganggap mengundi satu tanggungjawab penting dalam memilih pemimpin berwibawa.

 PRK DUN Sungai Bakap hari ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lepas, kerusi itu dimenangi Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan