POLITIK

Pemilihan Calon Bertanding Pilihan Raya Perlu Lebih Dinamik - Johari

08/07/2024 04:01 PM

BENTONG, 8 Julai (Bernama) -- Pemilihan seseorang untuk menjadi calon bertanding dalam pilihan raya seharusnya tidak terikat dengan kaedah lama sebaliknya perlu lebih dinamik merentasi semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mempunyai sikap "give and take" (bertolak ansur) dalam pemilihan calon bagi memastikan kemenangan.  

"Strategi politik merangkumi banyak benda antaranya calon, gerak kerja, kesesuaian kawasan yang nak bertanding dan sama ada kita ada pemimpin (bersesuaian) di kawasan itu.

"Kalau dalam sesuatu kawasan itu kita tak ada calon yang bagus tetapi calon lain lebih bagus dalam Kerajaan Perpaduan (parti gabungan) mungkin ada, kita kena give and take dan dinamik...tak boleh ini kawasan saya menang jangan masuk campur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong di sini hari ini.

Sementara itu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memaklumkan calon pilihan raya yang dikenal pasti harus dilatih lebih awal mendekati masyarakat termasuk menjadi "pembangkang" kepada wakil rakyat yang tidak buat kerja. 

Ditanya mengenai gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, beliau berkata UMNO sedang meneliti latar belakang kawasan berkenaan.

"UMNO buat keputusan akan bertanding jadi nanti dah kenal calon kita cerita... kita ada kumpulan di UMNO sedang buat latar belakang mengenali kawasan dan sebagainya," kata Johari. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos. 

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri berlaku selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Mohd Azizi gugur keahlian Bersatu dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lepas oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan