AM

Mardi Kuala Kangsar Sasar Tanam 219 Jenis Durian

08/07/2024 09:45 PM

KUALA KANGSAR, 8 Julai (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan untuk menanam 219 jenis durian di kawasan seluas 21 hektar, di Taman Agro Durio Tourism MARDI Kuala Kangsar.

Pengarah MARDI Perak Zaiha Zeeti Mohamad Yusob berkata sasaran tersebut selaras dengan peranan MARDI Kuala Kangsar yang berfungsi sebagai stesen sokongan penyelidikan, pembangunan dan pemindahan teknologi bagi buah-buahan khususnya durian.

Beliau berkata setakat ini stesen terbabit mempunyai pelbagai durian klon iaitu D2, D6, D7, MDUR 78, 79 88, D176, D133 dan lain-lain durian premium yang terdapat di pasaran. 

"Menjadi hasrat kami untuk ada kesemua koleksi jenis durian dalam negara untuk dijadikan rujukan serta penyelidikan pada masa depan. Selain itu, kita nak pastikan jenis durian ini sentiasa ada selain pengklonan yang memberi nilai tambah kepada kualiti durian itu sendiri. 

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Malaysia sebagai rujukan untuk dapatkan anak pokok selain gerak kerja oleh kakitangan MARDI sendiri dalam mencari di kampung-kampung jenis durian yang tiada dalam simpanan Jabatan Pertanian," katanya pada sidang media selepas Program Ramah Mesra Duriotourism Bersama Media Perak di MARDI Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaiha Zeeti berkata MARDI Kuala Kangsar menganjurkan pakej Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar, bermula 9 hingga 29 Julai bagi orang ramai menikmati durian premium hasil penyelidikan institut tersebut.

"Aktiviti Pakej Duriotourism dan penjualan buah durian hanya pada tarikh yang telah ditetapkan dan  pengunjung berpeluang melihat sendiri ladang durian, limau bali dan manggis selain berpeluang merasai buah tersebut secara segar. 

"Pakej untuk Duriotourism ini terbahagi kepada dua iaitu sesi pagi 10 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang dari 4 hingga 6 petang pada kadar harga RM50 bagi dewasa, kanak-kanak (RM18) dan warga emas serta OKU (RM35)," katanya. 

Katanya Pakej Duriotourism telah dimulakan sejak 2019 namun terhenti pada 2020 disebabkan COVID-19 dan kemudian dibuka semula pada 2022. 

"Pada 2022 pula kita terpaksa tutup disebabkan masalah penyakit pada buah dan tahun berikutnya (2023) kita terpaksa tunda lagi disebabkan kualiti buah tidak memuaskan. 

"Alhamdulillah, tahun ini buah menjadi dan sedia untuk dibuka kepada orang ramai untuk mendapatkan durian premium di sini tetapi hanya pada bulan ini sahaja," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan