AM

BERSATU TERIMA SURAT SPEAKER DEWAN RAKYAT MAKLUMKAN TIDAK BERLAKU KEKOSONGAN KERUSI ENAM BEKAS AHLI

10/07/2024 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Bersatu telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang memaklumkan tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen melibatkan enam bekas ahlinya yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata surat bertarikh 9 Julai itu telah diserahkan lewat petang semalam.

"Speaker Dewan Rakyat menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di  bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi (Parlimen) bekas Ahli Bersatu," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Muhyiddin menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu memandangkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah memutuskan bahawa enam individu terbabit telah dihentikan keahlian, justeru tidak lagi mewakili Bersatu di Dewan Rakyat.

"Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran  perlembagaan parti politik oleh parti berkenaan adalah muktamad dan konklusif," katanya.

Beliau berkata Bersatu akan melantik pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya ekoran keputusan berkenaan. 

Enam Ahli Parlimen terlibat ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Pada 20 Jun lepas Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee berkata notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen berkenaan telah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Keenam-enam Ahli Parlimen itu diberikan notis gugur keahlian parti pada 12 Jun lepas apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulis MPT untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan