AM

NEGERI SEMBILAN FOKUS SEKTOR PERTANIAN UNTUK TINGKAT KDNK

10/07/2024 06:15 PM

SEREMBAN, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif dengan memberikan penumpuan kepada sektor pertanian sebagai usaha meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata langkah tersebut termasuk pelaksanaan pemberian lesen pendudukan sementara (LPS) kepada petani bagi merangsang aktiviti pertanian dan meningkatkan sumbangan sektor tersebut kepada ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri meluluskan permohonan LPS kepada mereka yang berminat mengusahakan pertanian secara tanaman kontan selain menumpukan pembangunan tanah berkeluasan sekitar bawah 2.42 hektar bagi aktiviti pertanian lain dan ternakan yang dapat memberi keuntungan kepada petani.

“Pilihan petani ini ada asasnya, mereka memikirkan penanaman yang dapat memberikan keuntungan sebab itu kerajaan negeri bersedia meluluskan LPS ini bagi memastikan industri pertanian dapat dijalankan. Terdapat juga permohonan tanaman buluh tetapi kita tiada kawasan yang luas bagi industri buluh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini.

Selain itu, Aminuddin berkata industri durian dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini juga berpotensi berkembang maju terutamanya melibatkan daerah Jelebu, Tampin, Lenggeng dan Kuala Pilah.

“Kita lihat banyak tanah baharu diusahakan (tanaman durian) dan mengeluarkan hasil, musim durian ini, memang banyak lori keluar masuk di kawasan Jelebu, ia satu perkembangan yang bagus,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata pertumbuhan KDNK 1.8 peratus direkodkan bagi 2023 di negeri ini dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, namun sedikit menguncup 4.9 peratus bagi sektor pertanian.

“Kita masih belum berpuas hati, kita optimis mampu mencapai lebih sebab itu kita usahakan bukan sahaja dalam sektor pengeluaran atau perkilangan tetapi kita mahu pastikan semua sektor menunjukkan peningkatan prestasi dari semasa ke semasa,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan