AM

MASA DEPAN MOBILITI DAN INOVASI AUTOMATIF DI KLIMS 2024

17/07/2024 08:26 AM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) edisi ke-10 akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 5 hingga 11 Dis ini.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain berkata acara itu akan mempamerkan masa depan mobiliti dan inovasi dalam industri automotif Malaysia yang berkembang dengan pengguna dilihat kian cenderung ke arah penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata KLIMS 2024 juga bertujuan untuk meneroka laluan baharu bagi meningkatkan keupayaan ekosistem automatif dan pihak berkepentingan, selari dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Bertemakan 'Beyond Mobility', pertunjukan itu mengetengahkan kelestarian, penggunaan kuasa elektrik dan pemanduan sendiri, KLIMS 2024 terus mempamerkan inovasi terkini dan kemajuan teknologi dalam industri automotif.

"Kami teruja untuk mengumpulkan peneraju industri, jenama global dan penggemar automotif di KLIMS untuk membentuk masa depan mobiliti dan inovasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata acara itu menawarkan platform untuk semua kategori kenderaan elektrik, vendor, pembekal peralatan pengecasan dan penyedia perkhidmatan untuk mempamerkan produk terkini, inovasi dan teknologi mereka.

Antara jenama kereta yang akan mengambil bahagian dalam KLIMS 2024 termasuk Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi, Nissan, KIA, Mazda, Kawasaki dan banyak lagi.

“Jenama lain akan diumumkan menjelang acara, menjanjikan pameran yang meluas dan pelbagai. Kami mengalu-alukan semua ke KLIMS 2024 dan menyaksikan masa depan mobiliti bersama-sama,” katanya. 

KLIMS 2024 disokong oleh persatuan industri utama dan rakan acara terkemuka seperti Persatuan Pengilang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia, Persekutuan Automotif Malaysia, dan Persatuan Pengeluar Komponen Automotif Malaysia, yang membawa kepakaran dan pengalaman industri mereka ke acara tersebut.

“Rakan acara seperti Carsome, Big Onion dan Motonation akan menyumbangkan sumber mereka, memastikan pengalaman yang komprehensif dan menarik untuk semua peserta,” menurut Mohd Shamsor.

KLIMS 2024 akan dibuka bermula 10 pagi hingga 8 malam (Isnin hingga Jumaat) dan 10 pagi hingga 10 malam (Sabtu dan Ahad), dan tiket boleh diperolehi menerusi www.klims.com.my.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan