AM

GEORGE TOWN DIKENALI SEMUA, TIADA KEPERLUAN TUKAR NAMA - WONG

17/07/2024 11:33 AM

GEORGE TOWN, 17 Julai (Bernama) -- George Town telah dikenali seluruh rakyat Malaysia dan dunia sekian lama, justeru tiada sebarang isu berkaitan nama tempat dan keperluan untuk menukar nama ibu negeri Pulau Pinang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata nama George Town juga disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

“Pengiktirafan antarabangsa itu menegaskan kedudukan George Town sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia yang menarik pengunjung dari seluruh dunia. 

“Nama George Town telah dikenali sejak sekian lama dan tiada sebarang isu yang timbul berkenaan dengan nama tempat tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini bagi mengulas kenyataan PAS Pulau Pinang yang menggesa kerajaan negeri mengembalikan nama asal George Town, iaitu Tanjung Penaga yang menurutnya melambangkan ‘identiti Malaysia’.

Wong menjelaskan nama Tanjong telah diangkat ke Dewan Rakyat dan dinamakan sebagai satu daripada kawasan Parlimen di Pulau Pinang.

Menurut portal rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebelum nama Pulau Pinang menjadi popular, penduduk di Seberang Perai lebih mengenali Pulau Pinang dengan nama Tanjong Penaga sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar tapak Fort Cornwallis.

Dipercayai nama atau singkatannya Tanjong masih digunakan dalam geran-geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan hingga tahun 1800.

Portal itu memaklumkan sehingga kini nama Tanjong begitu serasi dengan penduduk Pulau Pinang dan Seberang Perai apabila merujuk kepada bandar George Town.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan