EKONOMI

ACARA SIRI INVEST MIDA TUMPUKAN PELUANG PELABURAN DI SARAWAK

18/07/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kerajaan Negeri Sarawak berjaya menganjurkan bahagian pertama Siri Invest MIDA – Sarawak: Unfolding Its Business Potential (Sarawak: Membuka Potensi Perniagaannya).

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata acara itu bertujuan menonjolkan landskap perniagaan dinamik Sarawak, membuka peluang perniagaan dan pelaburan yang belum diterokai serta memudahkan penglibatan dengan agensi-agensi utama negeri dan pihak berkepentingan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata terdapat peluang yang besar untuk pelabur bekerjasama dengan Sarawak dan mengembangkan sektor penjanaan tenaga bersih.

“Kami kini mengutamakan bidang seperti solar berskala besar, biotenaga termasuk biogas dan biojisim, bahan sisa kepada tenaga, dan storan hidro pam untuk menangani gangguan tenaga boleh baharu berubah-ubah dan banyak lagi teknologi penjanaan tenaga bersih yang boleh digunakan secara komersial di Sarawak ,” kata beliau dalam ucapannya.

Berlangsung di MIDA Sentral Kuala Lumpur, acara itu menarik lebih 200 peserta, termasuk pemimpin-pemimpin industri, pegawai kerajaan, usahawan, dan pengurusan kanan daripada pelbagai sektor.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Strategi Pelaburan Hijau (GIS) yang diluluskan baru-baru ini oleh Majlis Pelaburan Negara menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memacu pembangunan sosioekonomi yang mampan.

Beliau berkata GIS bertujuan untuk memberi kesan kepada peralihan tenaga Malaysia dan menarik pelaburan hijau dengan cara yang lebih sistematik.

“Matlamat kami adalah untuk menarik kira-kira lapan kali ganda nilai semasa pelaburan hijau ke Malaysia, berpaksikan tujuh teras utama rendah karbon; serta memanfaatkan pelaburan asing dalam teknologi hijau dan menambah baik ekosistem pelaburan hijau.

“Agenda tenaga hijau Sarawak yang bercita-cita tinggi bertujuan untuk menyahkarbon sistem pengangkutannya dan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, sangat melengkapi strategi peringkat kebangsaan mengenai pelaburan hijau, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),’’ jelasnya.

Selain itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri berkata Sarawak menawarkan cadangan nilai yang menarik merentasi pelbagai sektor ekonomi sejajar dengan matlamat pembangunan mampan dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Beliau juga berkata bahawa prinsip-prinsip itu adalah sebahagian daripada strategi pembangunan negara.

“Oleh itu, membuka masa depan yang mampan untuk Sarawak adalah mengenai pertumbuhan ekonomi yang seimbang dengan penjagaan alam sekitar dan masa depan yang inklusif,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata salah satu tujuan acara Siri Invest MIDA diadakan adalah untuk membantu semua negeri mencapai potensi penuh mereka dalam membawa pembangunan.

“Program ini bertujuan untuk menyediakan komuniti perniagaan dengan maklumat penting mengenai kemudahan dan inisiatif kerajaan yang direka untuk membina dan mengekalkan kelebihan daya saing syarikat domestik.

“Selain itu, kami berusaha untuk memastikan semua pihak dimaklumkan tentang perkembangan industri dan pelaburan terkini. Hari ini kami meneruskan momentum dengan menekankan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Sarawak,” katanya.

Program baru-baru ini menampilkan tiga sesi bernas yang mengetengahkan inisiatif strategik Sarawak dan peluang pelaburan dalam sektor-sektor utama, pembangunan infrastruktur pelabuhan mampan dan pelan hala tuju ekonomi digital dan transformasi digital di Sarawak, yang disampaikan oleh speaker daripada agensi-agensi negeri yang berkaitan.

Menurut kenyataan itu, potensi pelaburan Sarawak berada di barisan hadapan, didorong oleh sumber-sumber aslinya yang luas, inisiatif-inisiatif strategik dan kemajuan terkini.

Pada 2023, Sarawak mencatat kemajuan penting dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7.8 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terpilih yang berada di bawah bidang kuasa MIDA, mencerminkan pertumbuhan yang besar sebanyak 387.5 peratus berbanding 2022.

Ia berkata, trajektori menaik ini dijangka berterusan pada 2024, dengan Sarawak memperoleh RM1.3 bilion dalam pelaburan yang diluluskan di bawah sektor yang sama pada suku pertama tahun ini.

Ia disumbangkan oleh pelaburan swasta asing, merangkumi lapan projek yang dijangka mewujudkan 1,171 peluang pekerjaan di Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan