AM

VM2026: KERAJAAN LAKUKAN SEGMEN PASARAN, SASAR PELANCONG BERKUALITI

19/07/2024 10:37 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan melakukan pensegmenan sektor pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkualiti dan berpendapatan tinggi ke negara ini bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), bermula tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pensegmenan sektor pelancongan akan dibahagikan kepada pasaran sedia ada dan pasaran baharu.

"Kita lakukan perkara ini kerana suatu program itu harus dimulakan dari sekarang dan tahun depan ialah pelaksanaannya kerana pada 2026 kita akan menerima pelancong-pelancong mengikut kumpulan sasaran yang telah ditetapkan.

"Saya yakin dengan penglibatan sektor swasta, penggiat pelancongan dalam semua bidang akan dapat mendukung semua program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menarik pelancong," katanya kepada media selepas mempengerusikan sesi libat urus dengan penggiat industri pelancongan bersempena dengan VM2026 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Kabinet berkata kerajaan menyasarkan pelancong berkualiti dan berpendapatan tinggi kerana ia secara tidak langsung dapat membantu ekonomi negara.

"Kita hargai pelancong-pelancong dari China, India dan Indonesia, namun kita berasakan usaha yang saya katakan high-end inbound tourist itu juga penting untuk kita bawa, bukan hanya dari segi jumlah pelancong, tetapi juga sejauh mana pertukaran wang asing yang diperoleh daripada pelancong ini akan dapat membangunkan ekonomi negara kita," katanya.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata kerajaan sedang menyemak semula Akta Industri Pelancongan 1992 untuk disesuaikan dengan pasaran pelancongan semasa serta memenuhi keperluan VM2026.

"Hal itu sudah dibincangkan dan semakan sudah dimulakan. Kita sesuaikan dengan situasi pasaran pelancongan sekarang dan sekurang-kurangnya untuk 20 tahun akan datang sebelum ubah suai (pindaan) dilakukan (terhadap akta itu lagi)," katanya dan menambah sasaran pelancong untuk VM2026 kekal 35.6 juta orang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan