AM

RAJA BAHRAIN BERANGKAT PULANG SELEPAS HADIR PERTABALAN AGONG KE-17

21/07/2024 01:03 PM

SEPANG, 21 Julai (Bernama) -- Raja Bahrain Sheikh Hamad Isa Al Khalifa berangkat pulang ke Manama pada 12.06 tengah hari ini, selepas menamatkan lawatan selama tiga hari ke Malaysia bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, semalam.

Sheikh Hamad dan delegasi baginda berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar berkenan mencemar duli ke Kompleks Bunga Raya bagi mengucapkan selamat jalan.

Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Bahrain ke Malaysia Dr Waleed Khalifa Almanea. 

Terdahulu Sheikh Hamad yang diiringi Tunku Idris berjalan melepasi kawalan kehormatan statik yang terdiri daripada dua pegawai dan 24 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), diketuai oleh Kapten Raja Azri Syahir Raja Mohd Zulkifli.

Semalam Sheikh Hamad dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat ke istiadat pertabalan itu di Balairung Seri, Istana Negara, sebelum menghadiri Majlis Santapan Diraja pada sebelah malamnya.

Kehadiran kedua-dua tetamu diraja dari luar negara itu mendapat penghargaan Sultan Ibrahim yang telah menzahirkan ucapan terima kasih ketika bertitah pada istiadat itu, semalam.

Istiadat pertabalan itu dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

Semasa berada di negara ini, Sheikh Hamad turut menerima kunjungan hormat daripada Anwar yang membincangkan mengenai usaha bagi meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Bahrain dalam pelbagai bidang untuk manfaat bersama.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bahrain bermula pada 1974 dan diperkukuhkan lagi dengan pembukaan Kedutaan Malaysia di Bahrain pada 2003 dan pembukaan Kedutaan Bahrain di Malaysia pada 2017.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan