POLITIK

PKR SABAH ANJUR HIMPUNAN PERDANA RAKYAT 4 OGOS INI

22/07/2024 04:32 PM

KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- PKR Sabah akan menganjurkan program Himpunan Perdana Rakyat yang bakal diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada 4 Ogos ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata kira-kira 10,000 orang dijangka hadir dengan pelbagai acara seperti sesi forum dan pidato akan diadakan bagi mengisi program bermula seawal 8 pagi hingga 2 petang.

"Ini adalah antara misi PKR untuk mengangkat semula parti ini yang didokong selama 25 tahun oleh rakyat Sabah.

"Kita akan menghimpunkan ahli, pendokong dan rakyat yang memahami serta percaya tentang gerakan reformasi ini. Kami mengalu-alukan kehadiran semua ke program ini.

"Amat istimewa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR telah memberi komitmen untuk hadir bersama rakyat Sabah dan kita akan mengupas beberapa isu dekat di hati rakyat Sabah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mustapha berkata seramai 10 pemidato terdiri daripada pemimpin PKR akan menyampaikan pidato masing-masing antara lain mengenai masalah infrastruktur dan isu kemiskinan tegar di Sabah, selain isu melibatkan pendidikan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu berkata Perdana Menteri juga akan tampil menyampaikan pidato perdana beliau pada program berkenaan.

Beliau berkata PKR Sabah akan turut menjemput semua kepimpinan parti dalam kerajaan Perpaduan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bersama menghadiri himpunan perdana itu.

"Kita membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka hadir bersama dan akan mengupas perkara berkaitan agar mereka mendengar sendiri pandangan kami," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan