EKONOMI

Tingkat Daya Saing Perniagaan Koperasi Antara Fokus Kongres Koperasi Kebangsaan 2024

25/07/2024 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Meningkatkan daya saing perniagaan koperasi antara empat fokus utama ditekankan dalam Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini. 

Tiga lagi fokus utama adalah memperkasa jati diri dan identiti, penambahbaikan akta, peraturan dan tatakelola serta pengukuhan pendidikan dan modal insan. 

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata resolusi dicapai hasil daripada kongres yang diadakan selepas 53 tahun itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

“Kita mahu pengiktirafan gerakan koperasi sebagai entiti perniagaan supaya koperasi menikmati insentif seperti diberi kerajaan kepada industri kecil dan sederhana (IKS).

“Sekarang ini kita lihat (bantuan) agak tidak seimbang, saya tidak kata tidak adil tetapi berdasarkan jumlah ahli koperasi di Malaysia, sebanyak 7.2 juta individu iaitu lebih daripada 20 peratus rakyat di negara ini adalah ahli koperasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di sini hari ini. 

Abdul Fattah berkata sesuai dengan tanggungjawab diberikan kepada gerakan koperasi untuk memperkasa peranannya dan memajukan perniagaan koperasi, kemudahan dan bantuan langsung daripada kerajaan adalah diperlukan.

“Ini antara cadangan kita juga iaitu gerakan menambah dana, memberikan bajet untuk pembangunan dan melihat cukai-cukai insentif lain yang boleh diberikan kepada koperasi supaya setaraf dengan IKS,” katanya. 

Terdahulu, Abdul Fattah dalam ucaptamanya berkata berdasarkan data daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Disember 2023, perolehan koperasi merekodkan RM64.6 bilion melepasi sasaran kerajaan pada 2025 sebanyak RM60 bilion.

“Terdapat 15,809 koperasi dengan jumlah keanggotaan sebanyak 7.2 juta dengan aset bernilai RM165.9 bilion manakala syer atau yuran RM17.4 bilion. Perolehan gerakan koperasi melebihi sasaran ditetapkan kerajaan melalui Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) membuktikan gerakan koperasi mampu menjana kebolehupayaan ekonomi,” katanya. 

Beliau berkata gerakan koperasi juga mahu akses untuk mendapatkan modal yang tidak terhad dan tiada lagi karenah birokrasi. 

“Isu-Isu remeh seperti ini menyebabkan koperasi ‘patah hati’ untuk mengembangkan perniagaan secara lebih agresif,” katanya. 

Selari dengan sasaran Ekonomi MADANI, Abdul Fattah berkata ANGKASA bertekad untuk membawa gerakan koperasi negara menjadi peneraju ekonomi Asia.

Kali terakhir Kongres Koperasi diadakan iaitu pada 1971 dan majlis penutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 dijangka disempurnakan Perdana Menteri esok. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan