JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Sandakan kesan tiga lelaki bantu siasatan kes mayat ditemui di ladang

27/07/2024 12:36 AM

SANDAKAN, 26 Julai (Bernama) -- Polis sedang mengesan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki dalam keadaan tidak sempurna dan reput, berhampiran sebuah kenderaan terbakar di Ladang Sawit, Jalan Sungai Memanjang di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supt K Ramasamy berkata tiga lelaki itu dikenali sebagai Mohd Jasmin Rusman atau Achok, 24, Mohammad Zulfaizzie Hanafie Mohd Firdaus, 24, dan seorang lagi hanya dikenali dengan nama Komeng berusia 20-an.

“Siasatan lanjut telah dijalankan dan setakat ini pihak Polis Ipd Sandakan telah menahan seorang wanita bagi membantu siasatan, bagaimanapun suspek utama dalam kes ini telah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. 

“Beberapa saksi utama juga telah dirakam percakapan dan motif utama pembunuhan disyaki akibat dendam, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Ramasamy berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki serta rangka pacuan empat ronda yang terbakar pada 10.50 pagi, daripada orang awam.

“Mayat yang ditemukan kira-kira 16 meter dari kenderaan terbakar itu, disyaki berkaitan satu kes orang yang dilaporkan hilang pada Ahad,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pasukan penyiasat forensik membuat pemeriksaan awal di lokasi kejadian, namun tidak menemukan sebarang senjata berkaitan kes itu.

Ramasamy berkata proses pengecaman mayat serta bedah siasat, akan dijalankan esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan