AM

106 Projek Fasiliti Klinik Daif Disiapkan Setakat 30 Julai

01/08/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 106 daripada 403 projek menaik taraf fasiliti klinik daif yang dikenal pasti untuk dilaksanakan dengan peruntukan RM150 juta tahun ini, sudah disiapkan setakat 30 Julai.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata sebanyak 296 projek pula masih dalam proses pelaksanaan dan satu lagi dalam fasa pra-pelaksanaan.

Beliau berkata di bawah inisiatif sama, sebanyak 436 projek juga dikenal pasti dan diluluskan peruntukan RM110.45 juta pada tahun lepas.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited dalam memastikan aset kesihatan diselenggara dengan baik bagi memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat. Untuk itu, kementerian melantik syarikat konsesi di bawah program Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) di hospital dan program Medical Equipment Enhancement Tenure (MEET) di klinik KKM untuk melaksanakan penyelenggaraan secara komprehensif.

“Pelaksanaan program PSH ini melibatkan 148 hospital KKM seluruh negara manakala pelaksanaan program MEET melibatkan semua klinik kesihatan dan pergigian di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Aziz Ariffin yang ingin tahu langkah diambil untuk memastikan setiap aset kesihatan diselenggara dengan baik serta berapa jumlah fasiliti klinik daif yang dikenal pasti.

Lukanisman berkata proses penyelenggaraan dijalankan merangkumi pelaksanaan penyelenggaraan berjadual, pembaikan kerosakan dan pelaksanaan pengujian keselamatan elektrik (EST) serta latihan pengoperasian kepada pihak pengguna di fasiliti kesihatan.

Katanya semua pelaksanaan penyelenggaraan itu dibuat mengikut ketetapan pengilang dan piawaian berkaitan bagi menjamin mutu kefungsian yang optimum untuk peralatan perubatan di samping memastikan peralatan perubatan selamat untuk digunakan.

Beliau juga berkata pada masa akan datang, perkhidmatan syarikat konsesisi itu yang turut membekalkan aset kesihatan ke fasiliti KKM akan ditambah baik memandangkan pelaksanaan pembekalan menerusi program ’Lease to Own’ ketika ini mempunyai kelemahan tertentu. 

“Program Lease to Own adalah satu pelaksanaan yang baik tetapi kadang-kadang peralatan kami terima selepas tamatnya (tempoh) konsesi dan tidak ekonomik untuk dibaiki. Maka kami ubah sedikit penggunaan (konsep) sewaan, dan kita dapat pastikan peralatan disediakan akan sentiasa diselenggara.

“Dalam tempoh tertentu juga, peralatan tersebut akan ditukar kepada yang baharu dan bagi peralatan dikembalikan kepada pembekal (konsesi), kita akan pastikan ia barangan terpakai yang dapat dijual semula,'’ katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan