AM

KPT Teruskan MyBrain 2.0, Taja Pengajian Peringkat Sarjana, PhD

01/08/2024 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneruskan pelaksanaan program penajaan MyBrain 2.0 yang menawarkan akses pendidikan lebih luas kepada semua rakyat berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD).

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan MyBrain 2.0, yang merupakan kesinambungan daripada program MyBrain15, akan memberi keutamaan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain bidang sains sosial dan sastera ikhtisas.

“Bagi fasa pertama, program MyBrain 2.0 menyasarkan penerima dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap serta pensyarah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian mereka di 20 Universiti Awam (UA).

“Penajaan program MyBrain 2.0 merangkumi kemudahan pembiayaan yuran pengajian dan elaun sara hidup yang merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kewangan pelajar di samping melahirkan lepasan universiti yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi,” menurut kenyataan itu.

Permohonan untuk penajaan tersebut akan dibuka mulai pada 3 petang hari ini sehingga 21 Ogos ini pada 11.59 malam secara dalam talian melalui Sistem Permohonan MyBrain 2.0 di pautan https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain2.

Program MyBrain 2.0 merupakan satu platform penting dalam menyokong pembangunan modal insan negara yang mempunyai daya intelek yang tinggi serta berupaya memacu kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan material untuk merealisasikan gagasan Malaysia MADANI.

Ia selaras dengan aspirasi kerajaan dalam usaha memperkasakan bidang STEM dalam kalangan pelajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan