AM

Himpunan Pembebasan Palestin platform terbaik kukuh solidariti bersama penduduk Gaza

01/08/2024 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Himpunan Pembebasan Palestin Ahad ini akan menjadi platform terbaik untuk Malaysia memberi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa mengenai sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan penduduk di Gaza.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata himpunan yang bakal berlangsung di Arena Axiata itu juga akan menjadi simbol ketegasan dan rasa amat marah rakyat negara ini yang mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

“Ayuh seluruh rakyat Malaysia bersama-sama hadir ke Arena Axiata dengan berpakaian serba putih, bawa semangat untuk Palestin, semoga sokongan ini menjadi pemangkin semangat kepada mereka di sana bahawa ada masyarakat dunia yang cakna dan mendoakan mereka,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan di saluran Bernama TV hari ini.

Beliau berkata perhimpunan yang menyaksikan ABIM berperanan sebagai antara penganjur utama itu akan bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan tazkirah sebelum disusuli pidato oleh pimpinan negara serta kemuncaknya ialah ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada hari itu juga kita menjemput tokoh pimpinan daripada agama Buddha, Kristian dan Hindu untuk sama-sama kita nyatakan bahawa krisis di Palestin ini bukan lagi tentang agama sebaliknya isu kemanusiaan, kita bersama tanpa mengira warna kulit, kaum mahupun agama,” katanya.

Ahmad Fahmi turut memberi jaminan keselamatan kepada peserta yang hadir ke perhimpunan itu.

“Ini satu perhimpunan aman, kita sudah koordinasi dengan kementerian berkaitan juga pihak polis untuk aspek keselamatan, di pihak peserta pula kita harap jangan cetuskan sebarang provokasi atau membawa sebarang senjata mahupun alatan berbahaya,” katanya sambil memaklumkan perhimpunan itu dijangka selesai selewat-lewatnya pada 11 malam.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan