AM

Rakyat Malaysia Dinasihat Tangguh Perjalanan Tidak Penting Ke Dhaka

02/08/2024 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perjalanan tidak penting ke Dhaka berikutan situasi yang masih tidak dapat diramalkan.

Dalam kenyataan terkini pada Jumaat, Kementerian Luar berkata pihaknya mengambil maklum terdapat warga Malaysia yang berhasrat untuk kembali ke Bangladesh.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan mereka di Bangladesh dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Begitu juga dengan pelajar Malaysia yang ingin kembali ke Bangladesh untuk meneruskan pengajian mereka dinasihatkan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sejurus selepas mereka tiba.

"Rakyat Malaysia di Bangladesh hendaklah sentiasa berwaspada dan mengelak daripada berada di kawasan yang berdekatan dengan apa jua perhimpunan dan kawasan konflik. 

"Langkah berjaga-jaga harus diambil selaras dengan arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa," katanya.

Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa komited memastikan kebajikan dan keselamatan semua rakyat Malaysia di Bangladesh sambil memantau situasi secara berterusan.

Memetik anggaran tidak rasmi, satu laporan berita menyatakan lebih 200 orang telah terbunuh sejak 16 Julai.

Pertempuran bermula pada 15 Julai antara polis dan penunjuk perasaan pelajar yang menuntut penghapusan kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan sektor awam kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia melalui butiran berikut:

Alamat: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka

House No 19, Road No 6,

Baridhara Diplomatic Enclave,

Dhaka – 1212

People’s Republic of Bangladesh

Nombor telefon: +880241081892 / 1895

+88 018 4179 8077 (untuk kecemasan sahaja)

E-mel: mwdhaka@kln.gov.my

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan