AM

MITI Lancar Projek Dewan Serba Guna, 'M,ini MITI Day' Di Kampung Angkat Madani Sabak Bernam

10/08/2024 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 10 Aug (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengadakan Majlis Pecah Tanah Dewan Serba Guna Terbuka dan pengumuman penganjuran ‘Mini MITI Day’ di Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam, Selangor.

Dalam kenyataan hari ini, MITI memaklumkan kampung tersebut dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI MITI sejak Februari lepas, hasil inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2024.

Menurut MITI Majlis Pecah Tanah Dewan Serba Guna Terbuka itu merupakan antara inisiatif penting kementerian berkenaan dalam usaha memperkukuhkan kesejahteraan komuniti setempat.

MITI memaklumkan dewan yang akan dibina di atas tanah wakaf milik Masjid Tebuk Mufrad itu, dirancang sebagai pusat pelbagai fungsi yang bakal memberi manfaat besar kepada penduduk kampung dari segi sosial dan ekonomi.

“Dewan serba guna ini bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat untuk aktiviti riadah dan sukan dengan kemudahan seperti gelanggang futsal, bola tampar, badminton, sepak takraw dan bola keranjang, tetapi juga sebagai tempat berkumpul bagi majlis ilmu, acara komuniti serta keraian.

“Pembinaan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dengan menyediakan ruang yang selesa dan selamat untuk pelbagai aktiviti, seterusnya membantu memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk,” katanya.

Menurut MITI dewan itu dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui sokongan kepada aktiviti inap desa dan penjualan produk tempatan.

“Dengan kemudahan ini, Kampung Tebuk Mufrad dapat menarik lebih banyak pelancong dan peniaga, sekali gus meningkatkan daya saing kampung di peringkat nasional,” menurut MITI. 

Menurut kenyataan itu pembinaan dewan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Lembaga Wakaf Selangor.

Bagi penganjuran Mini MITI Day yang berlangsung hari ini, kementerian itu memaklumkan program berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti yang bertujuan memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan pengenalan mengenai fungsi MITI serta agensinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan