EKONOMI

Straits Energy Mahu Senaraikan Unit Di NYSE Menjelang Suku Keempat

12/08/2024 09:25 PM

KUALA LUMPUR,12 Ogos (Bernama) -- Straits Energy Resources Bhd berhasrat menyenaraikan anak syarikat dengan kepentingan 76.68 peratus, TMD Energy Ltd (TMDEL) di Bursa Saham New York (NYSE), Amerika Syarikat (AS) menjelang suku keempat 2024.

Syarikat itu sebelum ini merancang menyenaraikan segmen perkhidmatan berkaitan pengisian bahan api dan perkapalan di pasaran Nasdaq AS.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Straits Energy berkata daripada meneruskan hasrat penyenaraian di Nasdaq, syarikat sebaliknya beralih kepada usaha menyenaraikan anak syarikatnya di NYSE.

“Berdasarkan harga terbitan awal US$3.25 hingga US$3.75 sesaham (US$1=RM4.450), cadangan tawaran awam permulaan (IPO) dijangka mengumpul hasil kasar US$5.69 juta hingga US$15 juta.

“Tanpa mengambil kira keadaan luar jangka dan tertakluk kepada memperoleh semua kelulusan ditetapkan, Lembaga Pengarah menjangkakan cadangan penyenaraian anak syarikat itu dapat dimuktamadkan menjelang suku keempat 2024,” katanya.

Menurut Straits Energy, TMDEL berhasrat memanfaatkan hasil sehingga RM50.93 juta bagi tujuan pengembangan segmen pengisian bahan api yang mungkin merangkumi namun tidak terhad kepada pembelian minyak kargo.

“Kumpulan bercadang memperuntukkan sehingga kira-kira RM19.16 juta diperoleh daripada cadangan IPO untuk membiayai perbelanjaan penyenaraiannya.

“Langkah penyenaraian anak syarikat ini akan membolehkan pengurusan Straits Group secara cekap memperuntuk sumbernya bagi tujuan mempercepat pengembangan perniagaan segmen pengisian bahan api serta perkhidmatan berkaitan perkapalan,” katanya.

Penyenaraian berkenaan juga membolehkan Straits Energy memanfaatkan potensi nilai pelaburannya dalam kedua-dua segmen perniagaan itu melalui pelaksanaan cadangan tawaran saham IPO yang akan turut meningkatkan nilai bagi pemegang saham.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan