AM

Johor Sedia Khidmat Kaunseling Kepada Keluarga Cikgu Istiqomah

13/08/2024 10:40 PM

JOHOR BAHRU, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor menyediakan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga mangsa pembunuhan kejam Istiqomah Ahmad Rozi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata ia bagi membantu mengembalikan semangat keluarga khususnya anak-anak guru berkenaan.

"Anak-anak arwah yang masih kecil memerlukan sokongan moral dan mental untuk menghadapi masa depan yang penuh cabaran tanpa ibu mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Khairin-Nisa, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tiram Azizul Bachok hari ini meluangkan masa menyantuni keluarga Istiqomah.

"Saya berdoa agar mereka diberikan ketabahan dan kekuatan jiwa serta semoga keadilan ditegakkan dengan pesalah dihukum setimpal dengan perbuatan keji tersebut," katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah dalam kenyataan mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan di tepi jalan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Dis tahun lepas ialah Istiqomah, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.

Polis telah menahan reman sepasang suami isteri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun isteri suspek berusia 36 tahun yang direman sejak 6 Ogos lepas dibebaskan dengan jaminan polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan