DUNIA

Mahkamah Perlembagaan Thailand Lucut Jawatan PM Srettha

14/08/2024 07:45 PM

BANGKOK, 14 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Rabu memutuskan Srettha Thavisin dilucutkan daripada jawatan Perdana Menteri selepas didapati bersalah melantik seorang menteri yang mempunyai rekod jenayah pada Mei lepas.

Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa Srettha bersalah melanggar Perlembagaan kerana melantik Pichit Chuenban sebagai menteri, walaupun mengetahui rekod sabitan kesalahan Pichit kerana menghina mahkamah.

Dalam undian majoriti 5-4, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kedudukan Perdana Menteri Srettha Thavisin sememangnya  tidak lagi wujud kerana kekurangan integriti, kehilangan kelayakan di bawah Perkara 160 (4) Perlembagaan serta tindakannya melanggar piawaian etika yang serius seperti yang dinyatakan dalam Perkara 160 (5).

Mahkamah mendapati bahawa Srettha, walaupun mengetahui tentang sabitan lepas Chuenban kerana menghina mahkamah, beliau masih mencadangkan pelantikannya sebagai menteri.

"Ini menunjukkan kekurangan integriti, pelanggaran langsung terhadap Perkara 160 (4) Perlembagaan," menurut keputusan mahkamah dalam satu kenyataan.

Akibat pemecatan Perdana Menteri, seluruh kabinet turut dibubarkan mengikut Perkara 167 perenggan satu (1) Perlembagaan.

Pada Mei tahun ini, Srettha dituduh melanggar peraturan etika dengan melantik Pichit, yang telah disabitkan kesalahan berkaitan rasuah pada 2008, sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Pichit meletak jawatan dalam usaha untuk melindungi Srettha, namun Mahkamah Perlembagaan tetap meneruskan pendengaran kes itu.

Sementara itu, Srettha dalam reaksi segera berkata beliau menerima keputusan itu walaupun ia bukan keputusan yang diharapkannya.

"Saya kecewa tetapi saya menerima keputusan ini," katanya kepada wartawan di Rumah Kerajaan di ibu negara Thailand.

Srettha juga mengucapkan terima kasih kepada semua hakim mahkamah perlembagaan yang memberi peluang kepada semua pihak untuk menjelaskan isu itu.

Walaupun enggan mengulas mengenai penggantinya, Srettha mengenang kembali tempoh perkhidmatannya: "Saya telah melakukan yang terbaik untuk melaksanakan semua tugas dengan sewajarnya dan melakukan kerja saya dengan serius. Berpegang teguh dalam kerja saya serta bekerja dengan jujur dan berintegriti."

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan