AM

JaPen Pulau Pinang Anjur Pelbagai Program Patriotisme Sempena Bulan Kebangsaan

17/08/2024 06:00 PM

BATU KAWAN, 17 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JaPen) Pulau Pinang menganjurkan pelbagai program berunsurkan patriotisme di negeri itu bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Pengarah Penerangan Pulau Pinang Hasmiza Hussin berkata program itu dilaksanakan di semua peringkat termasuk komuniti bagi memastikan ia memberi impak secara holistik dan tersebar luas ke seluruh negeri itu.

"Beberapa program yang telah dilaksanakan mendapat sambutan yang baik daripada anggota komuniti MADANI dan komuniti setempat yang sangat aktif serta bersemangat sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.

"Kami di JaPen Pulau Pinang juga gembira kerana program seperti itu bukan sahaja mampu mengumpulkan semua komuniti pelbagai peringkat umur, malah pelbagai agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat," katanya ketika berucap pada Program Jiwa Komuniti MADANI peringkat Parlimen Batu Kawan di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun Goh Choon Aik mewakili Ahli Parlimen Batu Kawan Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Program itu diadakan dengan kerjasama Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) sempena ulang tahun ke-10 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) dan diadakan di hentian rehat dan rawat tol JSAHMS yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif JKSB Datuk Faisal Shahbudin.

Hasmiza berkata program hari ini menjadi acara turun padang dan libat urus JaPen bersama masyarakat setempat dalam suasana santai dan selain menjadi platform untuk pihaknya memasarkan maklumat, isu semasa, dasar serta inisiatif kerajaan termasuk menyediakan e-perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk orang ramai untuk turut serta dalam Kempen Jalur Gemilang dengan menggantung dan memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing kerana tahun ini kerajaan melancarkan Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.

"Ia bertepatan untuk menterjemahkan semangat patriotik dan rasa bangga menjadi anak Malaysia melalui kibaran Jalur Gemilang dan bagi saya setiap saranan serta kempen yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia perlu disahut dengan penuh tekad," katanya.

Sempena program itu, turut diadakan pertandingan mewarna Keluarga MADANI, mengedarkan Jalur Gemilang kepada pemandu kenderaan di Tol JSAHMS dan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Parlimen Batu Kawan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan