AM

SUKMA Pupuk Semangat Patriotisme, Bukan Sekadar Pentas Pertandingan - Abang Johari

17/08/2024 11:29 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) bukan sekadar satu pentas pertandingan tetapi juga platform memupuk semangat patriotisme dan kebanggaan negara melalui penyertaan pelbagai negeri dan etnik dalam satu platform.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata temasya sukan itu membantu mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, membina persahabatan serta menyemai nilai positif dalam kalangan generasi muda.

“Walaupun pada mulanya bukan giliran Sarawak (menganjurkan SUKMA 2024), atas semangat perpaduan Malaysia dan demi pembangunan sukan negara dan anak-anak muda, Sarawak sanggup menjadi tuan rumah,” katanya ketika berucap pada upacara pembukaan SUKMA 2024 di Stadium Sarawak malam ini.

Beliau berkata keputusan untuk mengagihkan lokasi pertandingan untuk temasya itu di sembilan bahagian di Sarawak kali ini turut bertujuan mendedahkan anak-anak muda kepada kepelbagaian budaya dan kaum etnik yang ada di negeri ini.

“Seperti di Mukah, majoriti kaumnya ialah Melanau manakala di Betong kaum Iban, di Miri kaum Orang Ulu dan di Sibu kaum Cina. Di Kuching pula selaku ibu kota Sarawak, penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dengan majoritinya Melayu. Inilah budaya dan tradisi Bumi Kenyalang,” katanya.

Abang Johari berkata penganjuran temasya dwitahunan kebangsaan itu turut memberi manfaat kepada ekonomi penduduk tempatan, khususnya mereka yang berkecimpung dalam industri perkhidmatan.

“Penganjuran SUKMA biasanya melibatkan banyak sektor ekonomi termasuk pelancongan, perhotelan, dan perniagaan tempatan. Ia memberikan peluang ekonomi dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan,” katanya.

Menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan kerja keras semua pihak dalam menjayakan penganjuran SUKMA 2024, beliau turut menyatakan kesediaan Sarawak untuk mengambil peranan sekiranya Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2027.

“Kepada Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan Malaysia (Hannah Yeoh), kami bersedia untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan