SUKAN

Awas Azeem!, Danish Datang

20/08/2024 12:07 PM

KUCHING, 20 Ogos (Bernama) --  Jika kena pada acuan, atlet muda Johor Danish Iftikhar Muhammad Roslee berpotensi mencapai status pemegang rekod kebangsaan Muhammad Azeem Mohd Fahmi sebagai jaguh pecut negara.

Danish Iftikhar yang dinobatkan Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sudah menunjukkan belang apabila menyambar pingat emas 100 meter (m) lelaki pada penampilan pertamanya di temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu.

Prestasi Danish Iftikhar turut menarik perhatian legenda pecut negara Watson Nyambek yang mengakui atlet berusia 17 tahun itu berpotensi menjadi seorang jagoan.

“Memang dia (Danish Iftikhar) berpontensi, dengan usia yang muda perjalanan karier dia masih jauh. Bakat ini harus digilap lebih baik,” kata pemenang pingat perak 100m Kejohanan Olahraga Asia 1998 itu kepada Bernama hari ini.

Watson yang diberi julukan “The Flying Dayak" merupakan atlet yang membuat dua penampilan di Sukan Olimpik dalam acara 100m masing-masing pada edisi Atlanta 1996 dan Sydney 2000.

Watson pernah memegang rekod kebangsaan 10.30s selama 18 tahun sebelum atlet pecut Melaka Khairul Hafiz Jantan meleburkan catatan itu dengan melakar 10.18s ketika meraih pingat emas SUKMA 2016 di sini.

Semalam, Danish Iftikhar mencatat masa masa 10.53 saat (s) meninggalkan atlet Selangor Danish Irfan Tamrin di tempat kedua (10.60s) dan Muhammad Efrain Feerzan Qhan Mohd Yazid dari Pahang ketiga (10.66s).

Sementara itu, Danish Iftikhar mengakui mahu mengikuti jejak langkah pencapaian Muhammad Azeem.

“Saya nak jadi bagus seperti dia, pada masa sama dia juga banyak bagi nasihat dekat saya,” katanya yang juga memasang impian untuk melakar nama sebagai pemegang rekod kebangsaan satu hari nanti.

Danish Iftikhar akan turun berentap dalam acara 200m hari ini dan 4x100m pada Jumaat dalam usaha membantu Johor menambah kutipan emas.

Rekod kebangsaan 100m lelaki ketika ini dipegang Muhammad Azeem dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2022.

Penampilan sulung Muhammad Azeem setelah mendapat peluang khas ke Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir pada pusingan pertama dengan catatan 10.45s.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan