DUNIA

Tentera Laut Indonesia Pintas Bot Laju Bawa Migran Tanpa Dokumen

20/08/2024 12:08 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 20 Ogos (Bernama) -- Tentera Laut Indonesia memintas sebuah bot laju yang membawa pekerja migran Indonesia tanpa dokumen serta seorang warganegara Malaysia di Kabupaten Tanjung Balai Karimun, Kepulauan Riau pada Ahad.

Operasi itu dijalankan pada waktu malam berhampiran Pelambung sekitar 7.30 malam waktu tempatan, menurut Komander Pangkalan Tentera Laut Tanjung Balai Karimun, Leftenan Kolonel Anro Casanova.

"Pasukan Tindak Balas Pantas Armada Satu kami mengesan bot laju itu beroperasi tanpa lampu navigasi, dan bot itu berjaya dipintas bersama penumpangnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pihak berkuasa menemukan enam orang di atas bot berkenaan, termasuk dua individu yang dipercayai anak kapal, tiga individu pekerja migran tanpa dokumen serta seorang warga Malaysia.

Pihaknya merampas beberapa barangan termasuk bot laju, tiga pasport Indonesia, Kad Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, kad pengenalan Malaysia, empat kad pengenalan tambahan, enam telefon bimbit, lima beg, wang tunai sebanyak 430,000 rupiah dan sejumlah mata wang Malaysia yang tidak dinyatakan.

Anro berkata bahawa mereka yang ditahan dan barangan yang dirampas telah diserahkan kepada Pejabat Imigresen Karimun dan Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Staf Tentera Laut, Laksamana Muhammad Ali menyeru semua anggota tentera laut untuk meningkatkan kewaspadaan dan menangani aktiviti haram di perairan Indonesia, sambil menekankan kepentingan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan