DUNIA

Indonesia Bakal Perbaharui Kerjasama Pertahanan Dengan Australia

20/08/2024 05:29 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 20 Ogos (Bernama) -- Indonesia dan Australia akan memperluaskan kerjasama di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) yang baharu bagi memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Pertahanan Indonesia.

Perjanjian ini adalah hasil daripada pertemuan antara Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Richard Marles di Canberra, pada Selasa.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Indonesia, pertemuan terbabit memfokuskan kepada perbincangan mengenai usaha meningkatkan hubungan bilateral kedua-dua negara yang berjiran.

Dalam sidang media, Prabowo menyatakan komitmennya untuk memperkukuh hubungan, manakala Albanese menyuarakan harapan untuk terus bekerjasama dengan Indonesia bagi membentuk “kawasan yang damai, stabil dan makmur, serta menghormati kedaulatan” masing-masing. 

Marles turut menzahirkan kegembiraan dapat bekerjasama dengan Prabowo sebagai Menteri Pertahanan dan berhasrat untuk meneruskan usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

"Australia dan Indonesia kini bekerjasama lebih rapat berbanding sebelum ini dan mengembangkan skop dan kerumitan latihan bersama dalam menangani cabaran serantau yang dikongsi bersama," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan