AM

Laporan Kemajuan Intervensi Kurikulum Diumum Dalam Masa Terdekat - KPM

23/08/2024 01:03 PM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Laporan kemajuan intervensi kurikulum yang merupakan salah satu daripada hala tuju reformasi pendidikan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemajuan implementasi terhadap intervensi kokurikulum itu yang sedang berjalan bertujuan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid.

 "KPM prihatin terhadap kegusaran masyarakat mengenai isu kurikulum berat seperti yang dilaporkan di laman media sosial. 

"Kefahaman dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan masyarakat adalah diperlukan bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya," kata kenyataan itu.

KPM menyatakan intervensi kurikulum yang telah diumumkan pada Mac lepas mengandungi empat inisiatif.

Antara empat inisiatif itu ialah Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 yang melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahap I sedia ada; serta pengesanan awal literasi dan numerasi bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Inisiatif itu turut merangkumi Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah yang mesra ibu bapa dan pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran ditukar dalam bentuk peratus dan gred; serta Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah rendah menerusi penganjuran webinar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan