AM

Program STI 100³ Dijangka Bermula Bulan Ini - MOSTI

23/08/2024 04:24 PM

GEORGE TOWN, 23 Ogos (Bernama) -- Program "STI 100 on the Power of Three" (STI 100³) yang melibatkan 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari tempoh pelaksanaan dijangka bermula bulan ini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menterinya Chang Lih Kang berkata pihaknya mahu mempercepat pelaksanaan program berkenaan bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mengambil kira manfaat yang dapat diberikan kepada para pelajar dan negara.

“Untuk tempoh 100 hari, kami akan melaksanakan program ini di 100 buah sekolah. Kami sudah ada semua perancangan serta mendapat kerjasama dan kebenaran Kementerian Pendidikan.

“MOSTI melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) juga bersedia dengan senarai calon saintis di bawah kelolaan ASM dan kami jangka untuk mula bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sains Negara (MSN) 2024 di Sekolah Menengah Han Chiang di sini hari ini.

Beliau berkata senarai saintis tempatan ini bukan sahaja terdiri penyelidik malah turut membabitkan pengamal pelbagai industri termasuk bioteknologi, angkasa dan nanoteknologi.

Beliau berkata program STI 100³ ini akan dijalankan bersama-sama dengan program seperti AI untuk Belia, MSN dan Kem STEM.

“Program ini tiada sukatan pelajaran khas kerana para saintis ini akan dijemput untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar.

"Kami akan menggabungkan program STI 100³ dengan program sedia ada, sebagai contoh apabila kami menganjurkan Kem STEM, saintis ini akan diundang untuk memberi ceramah kepada pelajar

Belai berkata program seperti ini ialah usaha MOSTI dalam menyemarak serta mempergiat aktiviti pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat, khususnya kepada golongan pelajar serta belia melalui aktiviti pembelajaran secara bukan formal dan di luar bilik darjah. 

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan