AM

Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Berusia 119 Tahun Selesai Dipulihara

27/08/2024 02:24 PM

GEORGE TOWN, 27 Ogos (Bernama) -- Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini yang berusia 119 tahun selesai dinaik taraf dan dipulihara selepas hampir tiga tahun. 

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan Projek Menaik Taraf dan Pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu dilaksanakan dengan mematuhi Akta 645 dan Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan Jabatan Warisan Negara.

“Sehubungan itu, keaslian bangunan dikembalikan dan dikekalkan sebaik mungkin bagi memanjangkan jangka hayat bangunan warisan ini dengan penambahan beberapa fasiliti mengikut keperluan semasa bagi menjamin keselamatan pengguna serta kemampanan keperluan masa hadapan. 

“Di antara skop kerja dan komponen terlibat ialah kerja-kerja pemuliharaan dan menaik taraf struktur bumbung, dinding serta lantai, menaik taraf sistem elektrik dan mekanikal termasuk lif, dan menurap jalan serta mengecat pagar sedia ada,” menurut kenyataan itu hari ini

Projek yang dilaksanakan secara konvensional perunding berkenaan melibatkan kos kontrak sebanyak RM18.9 juta.

Projek yang dimulakan pada 1 Dis 2021 dan siap sepenuhnya 13 Julai lepas itu milik Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan Pengarah Kerja Raya Negeri Pulau Pinang selaku Pegawai Penguasa.

Pemulihan bangunan warisan itu berikutan mengalami beberapa masalah termasuk kebocoran bumbung, kesan anai-anai, kelembapan dan tumbuhan kulat yang terdapat pada beberapa bahagian.

Sementara itu, KKR memaklumkan projek berkenaan membuktikan kepesatan negara tidak menjejaskan sebarang warisan dan nilai sejarah malah Malaysia memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara bijaksana, berkesan dan mampan bagi manfaat generasi akan datang.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjadi antara faktor utama dalam pengiktirafan George Town sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

Bangunan mahkamah yang mula dibina 1901 dan digunakan pada 1905 itu telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

KKR merakamkan penghargaan kepada BHEUU JPM yang memberikan kepercayaan serta kerjasama sepenuhnya kepada JKR,  khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek berjaya disiapkan.

Terdahulu, majlis penyerahan projek berkenaan disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M.Kulasegaran dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail mewakili Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan