JENAYAH & MAHKAMAH

Punca Kematian Pegawai Kadet TLDM Enam Tahun Lepas Disebabkan Strok Haba - Pakar Perubatan HAT

03/09/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Seorang pakar perubatan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa punca kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) J. Soosaimanicckam enam tahun lepas adalah disebabkan strok haba.

Kol Dr Nik Mohd Noor Nik Amin, 48, yang merupakan Ketua Jabatan Kecemasan 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut, Perak berkata ia berdasarkan pengalamannya dalam menangani latihan-latihan ketenteraan sebelum ini.

Saksi defendan ketujuh itu berkata pada 19 Mei 2018, Soosaimanicckam yang tidak sedarkan diri telah dibawa oleh rakan-rakannya ke jabatan kecemasan itu, berikutan mangsa tidak bernafas dan tiada denyutan nadi.

"Tekanan bantuan awal pernafasan (CPR) dimulakan oleh paramedik bertugas dan rawatan resusitasi awal diberikan oleh pegawai perubatan bertugas. Berdasarkan garis panduan rawatan BLS (basic life support guideline) paramedik telah memulakan CPR serta merta dan bantuan oksigen dan cecair intravena diberikan," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim Idah Ismail.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan dalam saman difailkan bapa Soosaimanicckam, S. Joseph terhadap 11 individu termasuk pegawai TLDM, panglima TLDM, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, menteri pertahanan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ke-15.

Ketika disoal peguam Latheefa Koya yang mewakili keluarga mendiang dalam kes saman itu apakah jenis latihan yang boleh menyebabkan seseorang itu mati akibat strok haba, Dr Nik Mohd Noor menjawab: "Strok haba boleh berlaku apabila mangsa melakukan senaman seperti larian namun bergantung kepada tahap kecergasan".

Ketika pemeriksaan semula oleh Peguam Persekutuan (FC) Abdul Hakim Abdul Karim mengenai punca kematian Soosaimanicckam ketika itu, saksi menjelaskan sekali lagi bahawa mangsa meninggal dunia disebabkan strok haba.

"...ujian darah (si mati) menjurus kepada strok haba dan simptom-simptom yang mangsa hadapi mengambil masa yang singkat.. selama tiga hingga empat hari. Berdasarkan fakta-fakta ini saya yakin bahawa mangsa meninggal dunia disebabkan strok haba," kata Dr Nik Mohd Noor yang telah berkhidmat selama 20 tahun sebagai pegawai perubatan di hospital berkenaan.

Menerusi saman yang difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga Soosaimanicckam mendakwa kecuaian berlaku di pihak defendan kerana gagal memberi rawatan kecemasan apabila mangsa rebah pada hari kejadian dan cuai dalam memantau kesejahteraan serta kesihatannya semasa sesi latihan.

Pada 29 Julai lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian Soosaimanicckam sebagai kes homisid dan punca kematian mangsa adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM bertanggungjawab bagi latihan kadet, yang menafikan rawatan perubatan kepadanya.

Perbicaraan bersambung pada 9 Sept ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan