JENAYAH & MAHKAMAH

Guna Logo Halal Tidak Sah, Kilang Seri Kaya Diserbu

10/09/2024 02:11 PM

IPOH, 10 Sept (Bernama) -- Sebuah kilang memproses seri kaya di Taman Glenview, Kamunting di sini, diserbu semalam selepas disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dijalankan kira-kira 10.45 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Negeri Perak, Cawangan Taiping.

“Melalui pemeriksaan yang dijalankan mendapati kilang ini beroperasi mengeluarkan produk makanan iaitu seri kaya (jem) dan pemeriksaan lanjut terhadap produk akhir mendapati ada logo halal pada bungkusan seri kaya terbabit. Produk makanan ini juga dipercayai untuk edaran jualan di sekitar negeri Perak dan Pulau Pinang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik perniagaan telah gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah. Sehubungan dengan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki telah menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa JAKIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 65 unit produk seri kaya yang siap dan 2,000 unit bekas plastik tertera logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita serta nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM452.25.

“Kilang itu telah beroperasi sejak 1994 dan mempunyai sijil halal, tetapi telah tamat tempoh dan kes dalam siasatan. Kes ini disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal,” katanya.

Kamalludin berkata jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta.

“Jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal terhadap produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Beliau berkata sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui saluran seperti Aplikasi WhatsApp KPDN menerusi talian 019-848 8000, portal e-aduan KPDN https://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1 800 886 800, aplikasi telefon pintar EZ ADU KPDN di Google Play atau App Store.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan