AM

Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat 675 Orang Petang Ini

17/09/2024 09:09 PM

JITRA, 17 Sept (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 675 orang yang dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 5 petang ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata kesemua mangsa terdiri daripada 159 keluarga dari empat daerah iaitu Kubang Pasu, Pendang, Kulim dan Pokok Sena.

“Daerah Pokok Sena paling terjejas dengan 255 mangsa daripada 63 keluarga dipindahkan ke dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau dan Maahad Tarbiyah Ismaliyah Derang.

“Pendang pula mencatatkan 187 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah,” katanya kepada pemberita ketika meninjau PPS SK Malau di sini hari ini.

Di Kubang Pasu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 134 orang daripada 45 keluarga berbanding 53 mangsa daripada 15 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Malau pagi tadi.

Beliau berkata dua lagi PPS dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan PPK Lubuk Batu.

Zulkhairi berkata di Kulim pula, sebanyak 99 mangsa daripada 31 keluarga dipindahkan di tiga PPS iaitu di Surau Taman Sang Kancil Lunas, Surau Kampung Paya Tok Betok dan SK Mahang.

“JKM Kedah sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan dengan bekalan bantuan makanan juga sentiasa dipastikan mencukupi.

“Bekalan makanan sedia ada mampu bertahan selama dua minggu untuk sekurang-kurangnya 10,000 mangsa. Setakat ini bekalan yang ada mencukupi untuk diagihkan kepada PPS," katanya yang turut menempatkan pegawai psikologi JKM di PPS bagi membantu mangsa.

Sementara itu, Zulkhairi berkata JKM Kedah menggunakan sistem baharu menggunakan kod QR bagi pendaftaran masuk dan keluar mangsa banjir di PPS, sekali gus memastikan bantuan dapat diagihkan dengan berkesan.

"Apabila mangsa mengimbas QR dan memasukkan maklumat diperlukan, mereka akan terus didaftarkan ke dalam sistem info bencana JKM. Mangsa bersama keluarga akan ditempatkan di PPS dan bekalan makanan terus diagihkan,” katanya sambil menambah kaedah berkenaan telah diguna pakai di beberapa negeri sebelum ini.

Sementara itu, di PULAU PINANG, tujuh PPS dibuka di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) bagi menempatkan 236 mangsa banjir daripada 52 keluarga.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang memaklumkan di SPU sebanyak 150 orang daripada 25 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Banjir Lebuh Banting, Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi dan Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang bermula 3.30 petang.

"Dua PPS dibuka pada 11 pagi di SPT iaitu SK Penanti dan Dewan Bukit Teh dengan menempatkan 44 orang daripada sembilan keluarga manakala di SPS sebanyak 42 orang daripada 18 keluarga berada di PPS Dewan Sungai Bakap dan Dewan MPKK Sanglang," katanya.

Setakat 7 malam beberapa kawasan di Pulau Pinang masih hujan berserta angin kuat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan