JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Maut Dihempap Pokok

17/09/2024 10:14 PM

KUANTAN, 17 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut manakala cucunya cedera apabila dihempap pokok tumbang ketika sedang berkhemah dalam kejadian hujan dan ribut di kawasan perkhemahan Pantai Balok, Beserah di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata Che Zakariah Che Ali, 68, beralamat di Felda Cerul 2, Kemaman, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Beliau berkata cucu mangsa, Nurul Amni Aisyah Mohamad Afiq, 7, cedera pada bahagian kepala sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam keadaan stabil. 

“Mangsa bersama 13 ahli keluarga menyertai aktiviti perkhemahan selama tiga hari dua malam di kawasan perkhemahan tersebut bermula semalam. Kira-kira 3.10 petang tadi, hujan dan angin kencang di kawasan perkhemahan dan mangsa ketika itu sedang duduk di atas kerusi di depan khemahnya. 

“Tiba-tiba menantunya yang berada dalam khemah bersama isteri dan dua anaknya terdengar bunyi pokok tumbang dan semasa menyelamatkan diri terlihat mangsa telah dihempap pokok dan mereka cuba mengalihkannya,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Sultan Haji Ahmad Shah @ IIUM Kuantan untuk dibedah siasat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan