EKONOMI

AKPK Lapor 53,000 Individu Bawah 30 Tanggung Hutang Terkumpul RM1.9 Bilion - Amir Hamzah

01/10/2024 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Seramai 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah hampir RM1.9 bilion, kata Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata AKPK juga mendapati 28 peratus rakyat Malaysia yang bekerja meminjam wang untuk membeli barangan keperluan.

“Peningkatan kebolehcapaian pinjaman peribadi, kad kredit, dan terutamanya skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ amat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan golongan dewasa muda.

"Meskipun ia memudahkan, kekurangan pemahaman mengenai implikasi dan kekurangan disiplin dalam mengurus komitmen kemudahan ini boleh mengakibatkan hutang yang tidak terurus," katanya dalam ucapan perasmian Bulan Celik Kewangan 2024.

Amir Hamzah berkata menurut tinjauan celik kewangan yang dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), hanya 36 peratus rakyat Malaysia memahami konsep asas kewangan seperti kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko.

Ia meletakkan Malaysia tempat ke-26 daripada 39 negara yang dikaji, di bawah purata global sebanyak 42 peratus.

Tahap celik kewangan yang rendah ini menimbulkan kebimbangan, mengambil kira hutang isi rumah Malaysia yang tinggi.

Sehingga 2023, hutang isi rumah mencecah RM1.53 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, antara nisbah tertinggi di rantau ini, katanya.

“Angka yang membimbangkan ini menunjukkan bahawa isi rumah semakin bergantung kepada kredit untuk membiayai gaya hidup dan pelaburan mereka.

"Jika tidak diurus dengan teliti, tahap hutang sedemikian boleh menyebabkan tekanan kewangan jangka panjang, ini mengukuhkankan lagi kepentingan celik kewangan dalam mengawal kedudukan kewangan," kata Amir Hamzah.

Beliau menekankan celik kewangan adalah asas kepada pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan kewangan kepada semua rakyat Malaysia, menjadikannya sebagai tonggak utama rangka kerja ekonomi MADANI.

“Kerajaan, melalui Rangkaian Pendidikan Kewangan, ia mengutamakan celik kewangan sebagai elemen teras agenda dasarnya di bawah Strategi Kebangsaan untuk Celik Kewangan 2019-2023.

“Strategi ini bertujuan untuk membangunkan tabiat kewangan yang bertanggungjawab, meningkatkan perancangan kewangan dan membina daya tahan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata bagi mencapai celik kewangan ia memerlukan kerjasama seluruh negara yang diselaraskan antara kerajaan, institusi pendidikan, institusi kewangan dan masyarakat.

“Hanya menerusi tindakan kolektif kita boleh mencapai kemajuan yang berkekalan dalam melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan kewangan yang mereka perlukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan